KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy
Jamaluddin sedia melepaskan jawatan sebelum 1 Februari 2021 jika
keputusan itu dimuktamadkan oleh Majlis Tertinggi (MT) UMNO.
Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau (BN) berkata, apa sahaja keputusan MT, beliau akan akur tanpa sebarang soal.
Bagaimanapun Khairy tidak dapat mengesahkan seandainya laporan media itu sahih atau tidak.
Sebaliknya kata Khairy beliau terikat kepada sebarang keputusan MT
UMNO yang akan bermesyuarat esok untuk membincangkan kedudukan pemimpin
UMNO memegang jawatan dalam Kerajaan Perikatan Nasional.
”Kalau itu satu keputusan oleh Majlis Tertinggi, saya akan turut perintah parti saya.
”Jika MT mahu ahlinya keluar dan letak jawatan, saya akan akur
sahaja,” katanya kepada pemberita sebentar tadi ketika sidang media
berkaitan vaksin di Parlimen hari ini.
Khairy mengulas laporan media bahawa Presiden UMNO, Datuk Seri
Ahmad Zahid Hamidi meminta Ahli-Ahli Parlimen UMNO meninggalkan Kerajaan
Perikatan Nasional (PN) sebelum Februari ini bagi mengadakan Pilihan
Raya Umum secepat mungkin.
Ahmad Zahid dikatakan membuat kenyataan itu semasa perjumpaan
bersama Ketua-Ketua UMNO Bahagian seluruh negara di Pusat Dagangan Dunia
Putra hari ini.
Menurut Ahmad Zahid, UMNO tiada pilihan kerana kerajaan hari ini
gagal memahami hati nurani rakyat yang mahukan pembaharuan dan reformasi
dalam pentadbiran.
Selain itu, ada juga laporan yang belum sahih bahawa Ahmad Zahid
meminta semua menteri dan pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC)
dari UMNO melepaskan jawatan masing-masing sebelum 1 Februari 2021. –
MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan