HALAMAN SANTAI

Ahad, 24 Januari 2021

Konsesus nasional dapat kembalikan keyakinan rakyat kepada orang politik

  KHAIRULANUAR YAHAYA

Naib Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Dr. Mujahid Yusof Rawa berkata, kestabilan Politik bukan retorik kosong tetapi kesempatan yang perlu diambil kesempatan melalui platform yang praktikal dan mempunyai kepentingan nasional.

“Hanya dengan pendekatan konsesus yang bermula dari awal proses hingga ke hujungnya dapat mengembalikan keyakinan rakyat bahawa orang politik boleh memberikan kepimpinan yang ikhlas dan jujur kepada rakyat dalam fasa yang sangat kritikal untuk kelangsungan hidup dan kehidupan.

“Sebab itu sedari awal, saya menegaskan masa untuk penyembuhan negara dan pemulihan demokrasi harus ditempohkan sehingga 2023 dari sekarang.

“Sebarang desakan untuk pilihanraya awal atas alasan mahu membentuk mandat baru tidak akan selesaikan masalah yang lebih besar yang kita hadapi hari ini. Biarlah PRU akan datang bermula di atas tapak yang bersih setelah semua pihak menjayakan proses ‘healing the Nation’ bersama,” kata bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri itu. 

Jelas beliau, menangani krisis pandemik sebagai satu-satunya penyelesaian dan membiarkan paksi krisis politik tanpa pendekatan yang praktikal adalah umpama menutup sebelah mata untuk melihat jalan keluar.

Mujahid berkata, keberkesanan menangani krisis pandemik Covid-19 bergantung kepada suasana politik yang stabil.

Namun menurutnya, kerajaan hari ini menggunakan krisis covid untuk menutup ketidakstabilan politik.

“Ironinya, seruan berbagai pihak supaya orang politik berhenti politiking dan bersatu menangani pandemik tidak disambut dengan pendekatan khusus dan platform yang terancang untuk orang politik berbincang mengenai kestabilan politik!

“Dalam hal ini, saya mencadangkan usaha ke arah konsesus nasional secara berinstitusi. Yang dimaksudkan ialah pendekatan yang terancang dengan membuat penetapan apakah yang hendak dicapai secara bersama rentas politik kepartian supaya kestabilan politik nasional dapat dijayakan,” kata Mujahid.

Prinsip besar yang memandu proses kesepakatan rentas parti hendaklah merujuk kepada Perlembagaan, asas demokrasi dan idea-idea kenegaraan yang diaspirasikan oleh generasi awal pengasas negara.

Langkah-langkah ke arah kestabilan politik bermula dari menetapkan matlamat, mengenalpasti masalah dan memperincikan pendekatan kepada permasalahan dan akhirnya cadangan penyelesaian dihasilkan sepakat dan bersama sepanjang proses.-SM

Tiada ulasan: