PETALING JAYA: Bekas presiden UMNO Najib Razak hari ini menggunakan slogan yang sering digunakan Presiden PKR Anwar Ibrahim, “lawan tetap lawan” sebagai gesaan supaya akar umbi parti itu berani dan terus bertekad memperjuangkan nasib rakyat.
Najib berkata, ahli UMNO di 191 bahagian di seluruh negara digesa tidak gentar dengan ujian, cabaran, rintangan dan penindasan yang dialami, susulan kejatuhan blok Barisan Nasional (BN) pada 2018, hingga menyebabkan pentadbiran Putrajaya diambil oleh Pakatan Harapan (PH).
“Banyak dasar yang baik untuk rakyat yang perlu kita perjuangkan. Beranikan diri, ‘lawan tetap lawan’, tidak ada ikatan politik yang lebih penting daripada kita dengan rakyat. Rakyat didahulukan, kini dan selamanya,” katanya dalam rakaman video di Facebooknya.
Katanya, ahli UMNO perlu diberikan peluang untuk menilai perkembangan semasa parti.
Baginya, UMNO bukan milik mana-mana pemimpin, sekali gus menggesa akar umbi tidak membenarkan parti itu dipengaruhi oleh mana-mana pihak, khususnya musuh dalam selimut dan pihak luar.
“Lebih-lebih lagi ketika 2018 dan 2019, semasa PH menjadi kerajaan, dikatakan BN sudah ‘innalillah’, UMNO sudah hancur.
“Ada yang mahukan UMNO dihapuskan, tetapi UMNO tetap utuh dan kekal berdiri. Masih ingatkan kita siapa mereka?
“Hari ini, UMNO dan BN kekal kukuh, dengan kesetiaan akar umbi, sokongan rakyat, dari Perlis hingga ke Sabah.
“UMNO-BN terus ikhlas untuk perjuangkan demi rakyat dan ini yang saya mahu setiap ahli pertingkatkan lagi,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan