KUALA LUMPUR: Pembangkang membidas tindakan UMNO yang dikatakan secara berterusan menuntut pilihan raya umum ke-15 (PRU-15) diadakan ketika negara berdepan penularan COVID-19, banjir dan masalah ekonomi.
Dalam satu kenyataan yang ditandatangani 14 Ahli Parlimen pembangkang daripada PKR, DAP, Parti Amanah Negara (AMANAH), Parti Warisan Sabah (WARISAN), Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) dan Bebas, mereka berpendapat, tuntutan seumpama itu tidak wajar dibuat dan harus ditolak rakyat.
"Malaysia mencatatkan 1,741 kes baharu COVID-19 semalam menjadikan jumlah keseluruhan kes meningkat kepada 120,818 kes.
"Beberapa negeri pula kini dilanda banjir yang buruk dan sehingga kini lebih 15,000 rakyat dipindahkan.
"Peningkatan jumlah pengangguran terkini dan penyusutan pendapatan kepada banyak keluarga ketika tempoh wabak ini semakin membimbangkan.
"Dengan mempertimbang semua perkara ini, kami begitu terkejut dengan permintaan berterusan UMNO untuk mengadakan pilihan raya dalam keadaan seperti ini," katanya.
Mereka berkata, Parlimen baru saja meluluskan Belanjawan 2021 berjumlah RM322.5 bilion pada bulan lalu, iaitu belanjawan terbesar dalam sejarah negara yang antara lain bagi memerangi COVID-19.
"Hampir tiga minggu selepas belanjawan yang sepatutnya mesra rakyat ini diluluskan, UMNO mahu menggunakan pilihan raya sebagai muslihat terakhir untuk merebut lebih banyak kuasa dengan mengorbankan kesejahteraan, keselamatan dan kesihatan rakyat Malaysia.
"Mereka memperlihatkan kepada kita semua diri mereka yang sebenar," katanya.
Ahli Parlimen itu mendakwa, negara sudah banyak kehilangan masa akibat salah laku pentadbiran dan rasuah selama bertahun-tahun.
"Rakyat mesti menolak cita-cita jahat dan sikap mementingkan diri demi kuasa.
"Negara ini perlu segera dirawat dan masa untuk merawatnya adalah sekarang!" katanya.
Kenyataan itu ditandatangani Ahli Parlimen Penampang, Datuk Darell Leiking; Syed Saddiq Syed Abdul Rahman (Muar), Datuk Mohd Azis Jamman (Sepanggar), Hannah Yeoh (Segambut), Yeo Bee Yin (Bakri), Baru Bian (Selangau) dan R Sivarasa (Sungai Buloh).
Selain itu, Datuk Seri Salahuddin Ayub (Pulai), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu), Teo Nie Ching (Kulai) Isnaraissah Munirah Majilis (Kota Belud), Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena), Khalid Samad (Shah Alam) dan Datuk Marzuki Yahya (Senator).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan