HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Januari 2021

Rayuan darurat: Pejuang hantar segera, PH belum pasti, Umno ‘tiada’

Malaysiakini

Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) akan menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah bagi memohon darurat ditarik balik, selewat-lewatnya esok.

Timbalan presiden penajanya Marzuki Yahya berkata surat itu akan mewakili permintaan kesemua empat orang anggota parlimen Pejuang.

“Kita dah siapkan surat. Mungkin akan hantar hari ini atau selewat-lewatnya esok,” kata Marzuki Yahya kepada Malaysiakini sebentar tadi.

Marzuki Yahya 

Dia bagaimanapun tidak menjelaskan sama ada surat itu akan ditandatangani kesemua anggota parlimennya atau presidennnya Mukhriz Mahathir saja.

Marzuki yang juga seorang senator berkata surat itu akan dihantar kerana daripada awal melihat perintah kawalan pergerakan (PKP) sudah cukup untuk mengekang Covid-19.

Empat anggota parlimen Pejuang itu termasuk Dr Mahathir Mohamad (Langkawi), Mukhriz Mahathir (Jerlun), Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Ketua Pembangkang Anwar Ibrahim pada 14 Januari lalu menggesa wakil rakyat pembangkang menghantar warkah rayuan kepada Agong bagi memohon agar pengisytiharan darurat dibatalkan dan parlimen bersidang secepat mungkin.

Anwar Ibrahim 

Pakatan Harapan (PH) berpendapat darurat tidak perlu, antaranya kerana ia didakwa memberi kuasa mutlak kepada perdana menteri untuk “melakukan apa saja” selain didakwa menjejaskan proses semak-imbang dalam negara.

Surat wakili 95 anggota parlimen

Sementara itu, sumber yang dekat dengan Anwar memberitahu Malaysiakini, sebanyak 95 anggota parlimen terlibat dalam surat rayuan PH kepada Agong.

Bagaimanapun hanya sepucuk surat bersama akan dikeluarkan dan bukan secara berasingan.

Ia, katanya, melibatkan kesemua 91 anggota parlimen PH daripada PKR, DAP dan Amanah dan selebihnya melibatkan anggota parlimen bebas, yang tidak dinamakan.

Bagaimanapun setakat ini telah jelas bila surat itu akan dihantar walaupun ia pada mulanya dikatakan akan diserahkan hari ini.

Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil ketika dihubungi Malaysiakini sebentar tadi tidak memberikan tarikh dan masa yang tepat.

“Kami akan beritahu pihak media nanti.

“Buat masa ini kami belum terima sebarang arahan (berkaitan penghantaran surat itu),” katanya ringkas.

Fahmi Fadzil 

Sementara itu, masih tidak jelas sama ada terdapat anggota parlimen Umno akan menyahut seruan Anwar untuk menghantar permohonan itu kepada Agong.

Tiada, kata Tajuddin

Pengarah Pilihan Raya Umno Tajuddin Abdul Rahman ketika ditanya Malaysiakini berkaitan perkara itu hanya memberikan jawatapan ringkas “tiada”.

Umno sebelum ini mengingatkan bahawa kuasa bawah Ordinan Darurat hendaklah tertumpu kepada urusan pengawalan Covid-19 semata-mata.

Tajuddin Abdul Rahman 

Ketua whip parlimen Parti Warisan Sabah Rozman Isli semalam memberitahu Malaysiakini bahawa anggota parlimen Warisan tidak akan menulis surat kepada Agong kerana presidennya Shafie Apdal sudah menyatakan pendirian melalui sidang media.

Al-Sultan Abdullah memberi perkenan supaya Pengisytiharan Proklamasi Darurat dilaksanakan sebagai langkah proaktif untuk membendung Covid-19.

Menurut Ordinan Darurat yang baru, parlimen dan pilihan raya digantung, kerajaan boleh menggunakan aset persendirian atau swasta untuk merawat pesakit Covid-19 dan tentera diberi kuasa menguatkuasakan undang-undang.


Laporan tambahan oleh B Nantha Kumar, Ramieza Wahid dan Low Choon Chyuan.

Tiada ulasan: