UMNO ONLINE
KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi melahirkan perasaan sedih selepas tahu apa yang berlaku di Kuala Terengganu semalam di mana seramai 70 jemaah kecewa tidak dibenarkan masuk kawasan masjid untuk menunaikan solat Jumaat lalu berlaku sedikit kekecohan.
Ujar Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, urusan solat Jumaat kini antara dilema besar umat Islam Malaysia pada waktu pandemik COVID-19.
“Saya sangat memahami perasaan mereka di Kuala Terengganu itu. Betapa kita semua mahu menunaikan solat Jumaat. Betapa kita rindu pada solat Jumaat andai beberapa kali terlepas peluang menunaikannya.
“Jika boleh tidak mahu ketinggalan mendirikannya walau sekali. Namun pihak berkuasa telah menetapkan SOP (prosedur operasi standard) demikian. Ada had bilangan Jemaah. Kita akur demi kemaslahatan bersama,” katanya dalam satu catatan di Facebook.
Cuma sepengetahuannya, solat Jumaat tidak semestinya hanya boleh diadakan di masjid-masjid.
“Antara syarat sah solat Jumaat ialah tempat mendirikan solat Jumaat itu hendaklah di suatu tempat yang seperti masjid, dewan, padang dan sebagainya.
“Mengapa kita tidak benarkan solat Jumaat turut diadakan di dewan, padang-padang, surau yang banyak tersedia di sesebuah kawasan?
“Dengan memastikan SOP yang ketat sebelum, semasa dan selepas solat serta had jumlah jemaah yang sama,” ujar Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Jelas Ahmad Zahid lagi, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Negeri boleh memikirkan tambahan lokasi bersesuaian dan menghantar khatib dan imam untuk melaksanakan solat Jumaat seperti yang diinginkan oleh rakyat.
“Jika demikian lebih banyak lokasi alternatif buat penduduk dan golongan pekerja untuk menyertai solat Jumaat di kawasan masing-masing,” katanya.
Tambahnya juga, bukankah baik diwujudkan juga sistem online (atas talian) untuk orang ramai mendaftar tempat solat Jumaat lebih awal.
“Bunyi agak pelik. Tetapi mungkin ini antara realiti dan norma baharu yang perlu kita lalui pada waktu-waktu sukar begini.
“Sekali gus dapat mengelak kekecewaan dan insiden kecil hati tidak dibenarkan menyertai solat Jumaat kerana telah melebihi kapasiti,” ujarnya.
Jelasnya juga dengan anggota RELA yang kini mencecah lebih 290,000 orang di seluruh Malaysia boleh diminta membantu memastikan pematuhan SOP dan semakan pendaftaran masuk di setiap kawasan solat Jumaat.
Justeru Ahmad Zahid berharap pihak yang berkaitan perhalusi cadangan yag diutarakannya jika ada rasionalnya.
“Jika tidak rasional, harap pihak berkuasa memikirkan sesuatu supaya lebih ramai dapat menunaikan solat Jumaat,” katanya. – UMNO ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan