PETALING JAYA: Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok berkata, MIC dan MCA sepatutnya menuntut majlis presiden Perikatan Nasional (PN) mengecam Menteri Besar Kedah, Muhammad Sanusi Md Nor atas keputusan kontroversialnya membatalkan cuti peristiwa untuk perayaan Thaipusam.
Katanya, kedua-dua parti komponen Barisan Nasional (BN) itu juga harus menuntut keputusan itu dibatalkan.
Beliau mencadangkan MIC, yang mengugut akan menarik balik sokongan terhadap Sanusi, melancarkan “Kempen boikot PAS” di seluruh negara atas ketidakpekaan dan sikap tidak bertoleransinya terhadap penganut agama lain, jika tuntutan ini tidak dipenuhi.
“Oleh kerana menteri besar PAS ini menunjukkan sikap memandang hina perayaan orang bukan Islam dan secara terbuka mendakwa partinya tidak memerlukan undi orang India, sudah tiba masanya bagi pemimpin MIC ‘mengajar’ PAS,” katanya dalam kenyataan.
Sanusi mencetuskan kontroversi selepas mengumumkan tiada cuti peristiwa sempena sambutan Thaipusam di Kedah tahun ini kerana semua aktiviti untuk perayaan tahunan itu dibatalkan berikutan sekatan dan SOP di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP).
Arahan itu mendapat bantahan, termasuk daripada bekas perdana menteri, Najib Razak, pemimpin DAP, MCA dan MIC yang berkata, ia tidak akan sewenang-wenangnya menyokong Sanusi pada pilihan raya umum ke-15 nanti.
Kok yang juga timbalan setiausaha agung DAP berkata, selain MIC dan MCA, pemimpin PN lain terus membisu atas kenyataan “perkauman” Sanusi dan tindakan mengelak daripada mengkritik sama dengan menyokong menteri besar itu.
Katanya, sudah tiba masanya bagi semua pihak yang menyokong kerajaan pimpinan PN, terutama dari Sabah dan Sarawak, memprotes pengumuman bersifat perpecahan dan diskriminasi oleh kerajaan Kedah pimpinan PAS itu.
“Jika kerajaan pimpinan PAS boleh melaksanakan polisi diskriminasi sedemikian di Kedah, ia pasti akan mendesak polisi diskriminasi sama di negeri lain juga.”
Tiada ulasan:
Catat Ulasan