HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2021

Tunggu keputusan MKT esok - Shahril

KUALA LUMPUR: Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO akan membincangkan mengenai langkah parti itu sama ada akan keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN), esok.

Ketua Penerangan UMNO, Shahril Hamdan, berkata MKT akan membincangkan segala kemungkinan daripada setiap sudut.

"Seperti mana dimaklumkan Setiausaha Agung UMNO (Datuk Seri Ahmad Maslan), lebih 140 bahagian mengusulkan menolak kerjasama dengan Parti Pribunmi Bersatu Malaysia (BERSATU).

"MKT ambil maklum sentimen terbabit dan esok akan berbincang dan mempertimbangkan segenap sudut, ke arah pendirian rasmi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Selain itu, Shahril berkata, pelantikan jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) dan Setiausaha Agung bersama Muafakat Nasional (MN) adalah hak Presiden parti.

Beliau berkata, isu pertukaran Setiausaha Agung BN kepada Datuk Seri Ahmad Maslan tidak sedikit pun mengurangkan jasa Tan Sri Annuar Musa kepada parti selama ini.

"Jawatan Setiausaha Agung BN dan Setiausaha Agung bersama MN adalah jawatan lantikan. Pertukaran jawatan lantikan adalah hak Presiden parti bergantung kepada kebijaksanaan beliau. Hari ini, Presiden melantik Datuk Seri Ahmad Maslan.

"Bagi saya, ia tidak sedikit pun mengurangkan jasa Annuar kepada parti selama ini termasuklah dalam penggal mencabar ini, di mana beliau menguruskan operasi banyak pilihan raya kecil dan pilihan raya negeri sehingga UMNO beroleh kejayaan.

"Tidak wajar kita melupakan jasa terbabit malah Presiden (UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) sendiri mengungkapkan penghargaan beliau dalam ucapan tadi," katanya.

Shahril berkata, tidak dinafikan kebelakangan ini Annuar dilihat berlainan arus dan tegas dengan pendiriannya dalam beberapa hal yang kurang disenangi ramai dalam parti.

Bagaimanapun, katanya, setakat hari ini, beliau masih orang UMNO dan yakin beliau kekal setia bersama parti walaupun tanpa jawatan pusat.

"Selagi beliau kekal setia, pengalaman dan kebijaksanaan beliau tetap harus menjadi aset parti," katanya.

Mengenai hubungan kerjasama dengan PAS, beliau menjelaskan UMNO masih menaruh harapan untuk memperkukuhkan kerjasama dengan parti berkenaan.

"Jika pertalian UMNO-BERSATU terputus sekali pun, UMNO tidak akan membelakangkan persahabatan Muafakat Nasional yang sudah terbentuk," katanya.

Tiada ulasan: