HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2021

UMNO diingat tak buat keputusan ikut emosi: Hishammuddin

ainulillia

 

Parti sedang diberi peluang untuk buktikan pemimpinnya prihatin, berkemampuan

BANGI – Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, dalam menentukan kerjasama politik, UMNO perlu mempunyai hala tuju, objektif dan sebab yang jelas dalam merancang jalan ke hadapan parti. 

Beliau menegaskan, sebarang pertimbangan yang dibuat tidak sewajarnya bersandarkan emosi dan kesan jangka masa pendek.

Ini kerana, katanya, keputusan yang bakal dibuat parti akan menentukan jatuh bangunnya UMNO, memberi kesan kepada nilai dan asas perjuangan UMNO dan juga kedudukan UMNO dalam pilihan raya yang akan datang.

“Jika parti berkeputusan untuk tidak meneruskan kerjasama dengan Bersatu, parti harus putuskan dengan siapa UMNO akan bekerjasama menjelang PRU15. Adakah dengan DAP? Adakah dengan PKR? Atau bersendirian?

“Perancangan kerjasama politik UMNO harus dibuat dengan teliti kerana pilihan raya bukannya esok. UMNO mesti lakukannya dengan penuh tanggungjawab dan kebijaksanaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mengulas lanjut, Hishamuddin menegaskan, iktibar yang harus diambil oleh UMNO adalah Barisan Nasional (BN) hanya menang 79 kerusi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) daripada 133 kerusi pada PRU13.

“Ini bermakna kita kehilangan 54 kerusi. Kita harus insaf dari pengalaman ini.

“Tambahan, negara kini masih berperang dengan kes harian tinggi COVID-19, banjir selain pemulihan ekonomi. Jumlah rakyat yang terkesan semakin meningkat,” katanya.

Beliau berkata, UMNO sedang diberi peluang untuk membuktikan kepada rakyat bahawa pemimpinnya prihatin, berkemampuan, dan bersungguh-sungguh untuk mengurus krisis dan menitikberatkan kepentingan rakyat.

“Pemimpin UMNO diberi amanah mengetuai Kementerian Pertahanan yang bertanggungjawab terhadap soal keselamatan negara dan menangani penularan COVID-19; mengetuai Kementerian Kesihatan yang memegang tanggungjawab besar memimpin petugas barisan hadapan negara; 

“… mengetuai Kementerian Sains Teknologi dan Inovasi yang sedang berusaha keras mendapatkan bekalan vaksin secepat mungkin.

“Kita sepatutnya komited dalam usaha untuk memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Pada hemat saya inilah harapan rakyat di bawah kepada pemimpin UMNO. Bukan berpolitik merebut kuasa yang tiada kesudahan. Akhirnya rakyat mual dan hilang keyakinan,” katanya.

Hishammuddin turut berpesan agar ahli Majlis Kerja Tertinggi yang akan bermesyuarat pada malam ini memutuskan yang terbaik selain menjelaskan apa sebenarnya UMNO inginkan.

Tiada ulasan: