HALAMAN SANTAI

Selasa, 19 Januari 2021

Umno sinis sambut inisiatif Permai Muhyiddin

 MALAYSIAKINI

 Malaysiakini

Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi dilihat secara sinis menyambut pakej bantuan Pelindungan Ekonomi dan Rakyat Malaysia (Permai) yang diumumkan Perdana Menteri Muhyiddin Yassin semalam.

Sambil mengingatkan sesebuah kerajaan tidak boleh meminta rakyat mengikat perut, katanya, kerajaan juga tidak boleh bersikap kedekut dan menuduh rakyat sebagai malas.

“Kerajaan sememangnya patut berbelanja untuk rakyat. Lebih-lebih lagi pada waktu PKP program bakul makanan jauh lebih penting berbanding projek dewan badminton,” katanya dalam hantaran di Facebook, hari ini.

Walaupun tidak menyebut sebarang nama, Zahid dilihat menyindir peruntukan RM35.4 juta bagi membina tiga dewan orang ramai di kawasan parlimen Muhyiddin di Pagoh.

Ahmad Zahid juga mengucapkan syukur kerana bantuan akhir tiba semalam selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 dikuat kuasakan sejak Rabu lalu.

“Alhamdulillah, pengumuman yang dibuat selepas enam hari pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0. Tidak terlalu cepat tetapi ada.

“Segala bantuan diumumkan untuk rakyat kita sokong penuh kerana ia sememangnya kebertanggungjawaban sesebuah kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi, rakyat bersyukur dengan bantuan tunai, tetapi sebahagian yang diumumkan semalam adalah yang pernah diumumkan sebelum ini - cuma akan dipercepatkan.

Turut menjadi sasarannya adalah setiausaha agung BN yang dipecat yang juga adalah Menteri Wilayah Persekutuan, Annuar Musa.

“Apatah lagi PKP 2.0 agak longgar dan lebih banyak aktiviti dibenarkan termasuk Taman Awam di Wilayah Persekutuan dibuka semula kepada orang ramai,” katanya.

Tiada ulasan: