HALAMAN SANTAI

Rabu, 6 Januari 2021

Wakil Umno, Bersatu sertai JPKK di Kelantan

HARAKAH DAILY

KOTA BHARU: Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) mulai beroperasi di Kelantan tahun ini bagi menggantikan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).

Pengerusi Majlis Penghulu Kelantan, Jamaluddin Ishak berkata, seramai 11 ahli jawatankuasa akan dilantik di samping pengerusinya akan dipilih dalam kalangan penghulu mukim.

Katanya nama-nama yang dicadangkan daripada parti kompenan Perikatan Nasional (PN) akan ditapis Jawatankuasa Panel Pemilihan Anggota (JPPA) yang dipengerusikan ketua jajahan.

“Ahli jawatankuasa tersebut terdiri daripada PAS, Umno dan Bersatu. Kita masih menunggu senarai nama daripada Umno dan Bersatu, selain wakil dari Pengerusi Majlis Perundingan Wanita Parlimen,” katanya di sini.

Majlis Penghulu Kelantan merupakan urusetia bersama dengan Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sebagai agensi di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB).

MPKK sebelum ini diwujudkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di seluruh negara dengan dianggotai 13 ahli dengan diketuai seorang pengerusi dan dibantu setiausaha.

Pengerusi dibayar elaun sebanyak RM500 sebulan, manakala setiausaha (RM300). Terdapat juga elaun kehadiran mesyuarat RM50 dan elaun pengendalian mesyuarat RM100.

Selain itu, MPKK juga diberi geran kesejahteraan dan keceriaan kampung sebanyak RM10,000 setahun.

MPKK diluluskan kerajaan PH pada 27 Jun 2018. Namun pada akhir 2019 kerajaan PH mewujudkan pula MPKKP di negeri yang diterajui PAS, BN dan GPS.

Bagaimanapun MPKK tiada lagi selepas kerajaan PH tumbang pada akhir Februari 2020.

Jamaluddin juga berkata, keahlian JPKK turut melibatkan golongan belia yang tidak mempunyai pertalian keluarga dengan pengerusi dan setiausaha. – HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: