HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 April 2021

Masuk politik, Ayahanda Rani Kulup jadi “abang jago”

HASNURUL MOHAMED

Kelmarin, Ayahanda Rani diundang menjadi tetamu Live SUARA MERDEKA di Shah Alam, Selangor selama setengah jam untuk ditanya tentang apa sebenarnya nawaitu beliau masuk politik.

Kata Rani, masuk politik, beliau mahu jadi Ahli Parlimen, mahu membela nasib para peniaga Melayu yang ditindas oleh orang Melayu.

“Itu sebab saya nak jadi Ahli Parlimen, saya nak kuasa, saya nak bercakap dalam Parlimen. Orang Melayu kita yang berniaga, ditindas oleh orang Melayu kita juga. Ini tidak betul.

“Saya nak bela nasib para peniaga Melayu yang mencari rezeki tetapi ditekan dan ditindas pula,” katanya secara terus terang.

Rani percaya, populariti yang diraih sebagai seorang aktivis NGO selama 21 tahun akan membantu meraih sokongan daripada orang ramai.

Maka itulah, apabila diberikan platform dalam PUTRA, beliau tidak menolak dan sekaligus memberitahu, sebelum ini, tiada tawaran yang dibuka kepadanya oleh mana-mana parti politik yang lain.

“Mana ada… tidak ada yang tawarkan pun kecuali PUTRA. Ini saya terima kerana ini adalah platform untuk saya membela nasib peniaga Melayu.

“Ya, memang saya tekankan orang Melayu untuk dibela nasibnya kerana orang Cina, biarlah orang dia yang bela. Sama juga dengan orang India.

“Tidak salah kalau saya bela bangsa saya sendiri. Ini perjuangan saya,” kata beliau.

Apabila ditanya tentang manifesto yang akan dibawanya pada pilihanraya umum nanti, ini jawapan Rani: “Saya tidak ada manifesto. Biar rakyat yang bagi saya manifesto.”

Rani tidak bersikap skeptikal walaupun ada yang memandang imej yang dipaparkan oleh beliau, agak melucukan, apatah lagi untuk menjadi seorang Ahli Parlimen.

Kata Rani, “kenapa perlu diukur pada penampilan? Pada imej? Sedangkan bukan imej yang buat kerja, kita ini yang bekerja. Kita turun padang, jumpa orang ramai, dengar apa masalah mereka dan cuba bantu dengan cara cari penyelesaian terhadap permasalahan mereka.

“Saya tidak ada jentera untuk bergerak bersama-sama. Saya jalan sendiri. Saya tahu dan kenal masyarakat, dan orang ramai juga kenal saya.

“Yang utama di sini ialah jadilah orang politik yang boleh bekerja, bukannya tidak bersikap membela. Itulah yang saya nak buat dan sokonglah saya,” katanya.

Menjadi Ketua Bahagian PUTRA di Bandar Tun Razak, Rani tidak menolak sekiranya namanya dicalonkan di Parlimen Gombak.

“Itu satu kelebihan kerana orang Gombak kenal saya, mengenali saya sebagai Ayahanda,” katanya lagi. – SM

Tiada ulasan: