HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Keluar KWSP boleh, KWAN tidak boleh? – Wan Saiful

Oleh MOHD. FADHLI MOHD. SULAIMAN
WAN SAIFUL WAN JAN

PETALING JAYA: Pengeluaran dana di dalam Kumpulan Wang Amanah Negara (KWAN) adalah logik jika benar ia adalah untuk kegunaan masa depan. 

Ketua Penerangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Wan Saiful Wan Jan berkata, akta KWAN sudah berkuat kuasa sejak tahun 1988 dan munasabah jika kerajaan membenarkan pengeluaran dana tersebut bagi tujuan menangani wabak Covid-19.  

“Dana KWAN adalah masa depan dan itu memang kita semua tahu. Tetapi disebabkan sekarang era krisis kesihatan yang memerlukan perbelanjaan luar biasa, maka diluluskan kebenaran untuk kerajaan belanjakan dana KWAN jika diperlukan. 

‘Masa depan’ yang dimaksudkan pada tahun itu ialah hari ini. Sudah lebih 30 tahun pun. Kalau waktu krisis Covid-19 ini tidak boleh digunakan, apa gunanya 30 tahun lepas kita wujudkan dana KWAN?” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.  

Pada Rabu lalu, kerajaan meluluskan undang-undang untuk menggunakan dana KWAN untuk perolehan vaksin dan perbelanjaan berkaitan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan. 

Ia dilakukan melalui pewartaan Ordinan Darurat (Kumpulan Wang Amanah Negara) (Pindaan) 2021. Menurut Akta Kumpulan Wang Amanah Negara 1988, dana itu dibayar melalui Kumpulan Wang Disatukan dan Petronas.

Tindakan kerajaan mendapat reaksi berbeza daripada Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hassan yang bimbang kenapa kerajaan tiba-tiba memerlukan dana KWAN walaupun tambahan peruntukan program imunisasi Covid-19 ditambah ke RM5 bilion telah dibuat sebulan lalu. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir, Muhammad Faiz Fadzil semalam mendakwa kerajaan mewartakan ordinan berkenaan adalah satu bentuk manipulasi di atas proklamasi darurat dan penggantungan Parlimen. 

Dalam pada itu, Wan Saiful menyamakan isu KWAN seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang dibenarkan untuk dikeluarkan sedangkan ia tidak patut disentuh atas alasan untuk kegunaan masa depan.  

“Hari ini mereka merungut mengenai pengeluaran dana KWAN sebab kononnya KWAN adalah untuk masa depan. Padahal mereka ini lah yang dulu merungut menuntut KWSP boleh dikeluarkan. Masa itu, mereka guna alasan tiada faedah jaga masa depan jika hari ini tak boleh jaga rakyat. 

“Tapi sekarang terlupa pula hujah itu. Agaknya, terlalu sibuk cari topik untuk merungut hingga tidak sedar bahawa rungutan mereka dah jadi tidak konsisten langsung. 

“Tambahan pula, sudah pasti ada syarat-syarat ketat yang akan dikenakan oleh kerajaan PN untuk membolehkan dana KWAN dibelanja. Bukan semberono sahaja,” katanya. – UTUSAN

Tiada ulasan: