PETALING JAYA: Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu mendedahkan rundingan pengagihan kerusi antara parti itu dan PAS bagi pilihan raya umum ke-15 (PRU15) kini selesai 30%.
Selain rundingan kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri di Semenanjung, katanya, rundingan dengan rakan komponen Perikatan Nasional lain, khususnya di Sabah juga diteruskan.
Beliau yang mewakili Bersatu dalam rundingan itu berkata, beberapa sesi perjumpaan akan diadakan sehingga rundingan selesai.
“Saya jangka rundingan akan selesai tidak lama lagi dan kita juga syorkan setiap parti kemuka kerusi yang ingin mereka tandingi sebelum teruskan perbincangan,” katanya dipetik Bernama pada majlis penutup Program Srikandi Muda Leadership Empowerment.
Beliau berkata, rundingan itu bertujuan memastikan tiada pertindihan kerusi antara parti komponen PN.
Baru-baru ini, satu perjumpaan diadakan antara Bersatu dengan PAS bagi membincangkan pembahagian kerusi PRU15.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan