HALAMAN SANTAI

Sabtu, 24 April 2021

Amirudin sebagai MB tidak setanding Azmin, Khalid, kata penyokong Anwar

PETALING JAYA: Ketokohan Amirudin Shari sebagai menteri besar Selangor tidak setanding Khalid Ibrahim atau Mohamed Azmin Ali yang pernah menyandang jawatan tersebut di bawah kerajaan Pakatan Rakyat (PR) dan Pakatan Harapan (PH), kata seorang ahli kumpulan Anwar Ibrahim.

Setiausaha kumpulan Otai Reformis, Abdul Razak Ismail berkata, PKR sebenarnya mencadangkan individu lain untuk menggantikan Azmin selepas kemenangan PH pada pilihan raya lalu (PRU14).

“Amirudin bukanlah calon pilihan PKR untuk menggantikan Azmin yang berpindah ke Putrajaya selepas kemenangan PH pada PRU14.

Abdul Razak Ismail

“Namun beliau dipilih sendiri oleh Azmin sebagai penggantinya, sedangkan parti mencadangkan pemimpin lain,” kata beliau kepada FMT.

Minggu lalu, Amirudin yang juga ketua PKR negeri berkata, krisis dalaman PKR dan rakaman audio tular didakwa membabitkan Anwar dan Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi tidak akan memberi kesan kepada sokongan pengundi di Selangor menjelang pilihan raya umum ke-15 (PRU15).

“Dari semasa ke semasa, walau apa pun yang berlaku, kita masih kuat dan mempunyai sokongan majoriti 2/3 di DUN Selangor,” kata beliau.

Ketika dihubungi FMT Razak juga yakin PH mampu menang selesa di Selangor dalam PRU15, sekalipun Amirudin tidak kekal sebagai menteri besar.

Ini termasuklah di kerusi yang ditandingi PKR dan DAP, kata beliau.

Namun bagi Razak, kebimbangan timbul berhubung kerusi yang dimenangi Amanah pada PRU14.

“Amanah dilihat bakal berhadapan tentangan hebat daripada PAS-Bersatu (PN) dan Umno (BN) dalam PRU15,” kata beliau.

Razak berkata, pengaruh Azmin tidak memberi kesan besar kepada PH untuk kekal menerajui Selangor.

“Kemenangan besar PH di Selangor pada PRU14 adalah disebabkan kecenderungan rakyat untuk menjatuhkan (bekas perdana menteri) Najib Razak ekoran isu 1MDB, selain sedikit ‘nilai tambah’ faktor Azmin sebagai MB,” kata beliau.

Awal bulan ini, Otai Reformis bersama sebuah lagi kumpulan pro Anwar yang dikenali sebagai Gerakan Reformasi 98 atau Gerak98, menggesa Amirudin dan lapan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selangor yang didakwa menyokong Azmin supaya tidak bertanding pada PRU15.

Razak sekali lagi mengulangi gesaan itu dengan mencadangkan kepada pucuk pimpinan PKR supaya menggugurkan ADUN pro Azmin, selain mereka yang telah bertanding selama tiga penggal bagi memberi laluan kepada muka baharu untuk mendapatkan kembali keyakinan pengundi.

Beliau memberitahu FMT, sekiranya PH kekal menerajui Selangor, Amirudin perlu diganti kerana kejujuran beliau diragui.

“Kejujuran dan taat setia Amirudin dan lapan ADUN pro Azmin terhadap Anwar sebagai presiden (PKR) dipertikai ramai ahli parti,” kata beliau.

Selain itu kata beliau, beberapa kelemahan kerajaan PH pimpinan Amirudin di Selangor juga perlu diperbaiki.

Antaranya adalah isu bekalan air, perobohan gerai atau rumah tanpa penggantian, dan penyahwartaan hutan simpan, tambah beliau.

Tiada ulasan: