HALAMAN SANTAI

Ahad, 25 April 2021

Saya hormati keputusan Presiden UMNO – Shahidan

MGF24042021_PC-SHAHIDAN-KASSIM_07
Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim pada sidang media selepas dipecat jawatan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis di Hotel Sri Pacific, Kuala Lumpur. Foto FAREEZ FADZIL,

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Shahidan Kassim menghormati keputusan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang melantik  Datuk Seri Azlan Man menggantikannya sebagai Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perlis.

Ahli Parlimen Arau itu berkata, melantik pengerusi adalah hak penuh presiden dan beliau tidak mempunyai masalah sekiranya Ahmad Zahid mahu melantik sesiapa pun menggantikannya.

Perkara pelantikan secara mengejut itu dimaklumkan Presiden UMNO dalam satu kenyataan media pada hari ini.

“Saya belum menerima sebarang kenyataan atau surat rasmi daripada presiden, cuma dengar dan tengok kenyataan yang ditularkan kepada media mengenai pertukaran pengerusi perhubungan negeri Perlis.

“Apa pun saya berterima kasih kepada presiden kerana memberi kepercayaan kepada saya selama ini dan saya akan terus meletakkan matlamat 100 peratus menang di Perlis pada pilihan raya umum akan datang,” katanya dalam sidang media malam ini.

Bagaimanapun, Shahidan memaklumkan, Ketua Bahagian UMNO Padang Besar, Datuk Zahidi Zanul Abidin sepatutnya diberi peluang menggantikannya kerana UMNO di kawasan itu telah memenangi kesemua lima kerusi di Parlimen Padang Besar.

Tambah beliau.  apa pun pendirian Presiden UMNO, program kebajikan bulan Ramadan akan tetap diteruskannya seperti yang dijadualkan bagi memastikan masyarakat  menerima bantuan di Perlis.

Dalam pada itu, Shahidan akan berhubung dengan Setiausajha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan untuk mendapatkan kepastian mengenai penggugurannya.

“Kalau benar esok saya tak perlu hadir Mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO malam esok,” ujarnya.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: