ANALISIS
TIDAK sampai 24 jam lagi Majlis Tertinggi (MT) UMNO akan bermesyuarat, Datuk Seri Shahidan Kassim hari ini ‘disingkirkan’ sebagai Pengerusi Perhubungan UMNO Perlis dan digantikan oleh Datuk Azlan Man.
Dalam kenyataan dua para bagi memaklumkan penggantian Shahidan, Presiden UMNO Datuk Seri Dr.Ahmad Zahid Hamidi tidak memberi sebarang alasan sebaliknya memaklumkan pertukaran itu berkuatkuasa hari ini dan mengucapkan terima kasih kepada bekas Menteri Besar Perlis itu atas perkhidmatannya.
Bagaimanapun penyingkiran Shahidan bukanlah sesuatu yang mengejutkan malah sudah dijangka memandangkan ketegasan beliau mempertahankan kerjasama dengan Bersatu manakala pada 10 April lalu, Shahidan mendesak Ahmad Zahid memberi penjelasan berhubung rakaman audio yang tular mengaitkan Presiden itu dengan Presiden PKR, Datuk Ser Anwar Ibrahim.
Difahamkan, isu rakaman audio itu yang dianggap oleh Ahmad Zahid sebagai politik menjijikkan akan dibangkitkan dalam MT esok memandangkan sehingga ke hari ini Ahmad Zahid tidak membuat laporan polis seperti mana dijanjikan oleh beliau.
Ahli-ahli MT termasuk Shahidan dikatakan akan membangkitkan isu tersebut, bagaimanapun dengan ‘penyingkiran’ Ahli Parlimen Arau itu ia menimbulkan persoalan sejauh manakah keberanian ahli-ahli MT membangkitkan isu yang dikatakan menyebabkan akar umbi UMNO tertanya-tanya dan keliru.
Sebelum ini, mereka juga tidak mendapat jawapan bahawa benar atau tidak, Ahmad Zahid mengutus surat kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menyatakan sokongan untuk Anwar menjadi Perdana Menteri.
Apabila timbul isu rakaman audio itu, ahli-ahli UMNO mahu kepastian sama ada benarkah adakah gerakan secara senyap bagi mewujudkan kerjasama dengan Anwar dan PKR.
Atas sebab itulah, ramai berpendapat, ahli-ahli MT termasuk Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan harus berani meminta penjelasan Ahmad Zahid apa sebenarnya berlaku.
Ia memandangkan ketika MT UMNO dilihat begitu berani mahu membuat keputusan bilakah akan keluar daripada Kerajaan Perikatan Nasional (PN) atas alasan demi maruah dan kepentingan parti maka mereka juga harus berani bertanya kepada Ahmad Zahid isu surat kepada Yang di-Pertuan Agong dan kenapakah beliau tidak membuat laporan polis dalam isu rakaman audio.
Selain itu, ahli-ahli MT juga perlu berani untuk mendesak supaya pemilihan parti diadakan pada tahun ini jika PRU-15 tidak diadakan. Mereka perlu jujur bahawa UMNO memerlukan perubahan kepemimpinan dan harus menyediakan barisan kepemimpinan yang mantap bagi menghadapi pilihan raya tersebut.
Lagipun sudah ada cakap-cakap dalam kalangan pemimpin kanan UMNO bahawa parti itu tidak ada masalah tetapi masalahnya ada pemimpinnya bermasalah, siapa? Semua orang tahu.
Kalau benar ahli-ahli MT UMNO ingin memantapkan parti, tidak dipalitkan dengan sebarang isu dan bersedia melakukan perubahan untuk mencapai kejayaan dalam PRU-15 maka mereka perlu ada keberanian bersuara, bukannya bimbang takut menerima nasib seperti Shahidan atau tidak dicalonkan dalam PRU-15.
Justeru mesyuarat MT esok bukan sekadar untuk menunjukkan keberanian pucuk pimpinan UMNO berhadapan dengan parti Bersatu sahaja tetapi juga orang mahu melihat sejauh mana keberanian ahli-ahli MT menegur atau menuntut kebenaran daripada pucuk pimpinan parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan