HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2021

30 Ogos dengar permohonan lucut hak barang Najib, 17 pihak lain

Farah Marshita Abdul Patah
Peguam mewakili Najib, Tania Scivetti meninggalkan mahkamah selepas pendengaran kes lucut harta bekas Perdana Menteri, serta 17 pihak yang lain di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD
Peguam mewakili Najib, Tania Scivetti meninggalkan mahkamah selepas pendengaran kes lucut harta bekas Perdana Menteri, serta 17 pihak yang lain di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur. FOTO NSTP/AIZUDDIN SAAD

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menetapkan 30 Ogos depan untuk mendengar permohonan pihak pendakwaan melucut hak barangan berharga milik Datuk Seri Najib Razak, isterinya dan 16 pihak lain.

Hakim Mohamed Zaini Mazlan menetapkan tarikh itu selepas dimaklumkan terdapat perkembangan baharu membabitkan permohonan berkenaan.

Terdahulu, kes itu ditetapkan untuk pendengaran permohonan oleh pihak pendakwaan, hari ini.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Faten Hadni Khairuddin memberitahu mahkamah, perkembangan baharu itu saling berkait dan memberi kesan terhadap kes lucut hak barang yang lain.

"Sehubungan itu, pihak pendakwaan memerlukan masa untuk meneliti surat berkenaan sebelum memaklumkan kepada mahkamah tindakan akan diambil selanjutnya," katanya.

Sementara itu, Faten Hadni ketika ditemui media di luar mahkamah memberitahu, pihak pendakwaan memfailkan hujahan bertulis pada 14 Julai lalu dan akan mengemukakan hujahan lisan pada 30 Ogos ini.

Antara barangan yang disita polis pada 17 Mei 2018 ialah 52 beg tangan pelbagai jenama, 10 utas jam tangan pelbagai jenama dan wang tunai berjumlah RM537,000 selain wang tunai pelbagai mata wang asing.

Sebanyak 27 kereta jenis model Nissan Urvan turut disita pada 2 Ogos 2018 selain beberapa bidang tanah dan aset lain.

Pihak pendakwaan menamakan Najib, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak mereka iaitu Riza Shahriz Abdul Aziz (anak tiri Najib), Nor Ashman Razak dan Nooryana Najwa sebagai responden pertama hingga kelima.

Selain itu, Mohd Kyizzad Mesran, Senijauhar Sdn Bhd, Aiman Ruslan, Yayasan Rakyat 1Malaysia, Yayasan Semesta, Yayasan Mustika Kasih, Rembulan Kembara Sdn Bhd, Goh Gaik Ewe (ibu kepada Low Taek Jho), Roger Ng Chong Hwa (bekas pegawai bank Goldman Sachs) dan isteri, Lim Hwee Bin, Kee Kok Thiam, Tan Vern Tact dan Geh Choh Hun sebagai responden.

Tiada ulasan: