HALAMAN SANTAI

Jumaat, 23 Julai 2021

Ahli Parlimen boleh hadir walaupun tidak divaksin

Oleh Rohaniza Idris

Kuala Lumpur: Semua Ahli Parlimen tidak dihalang menghadiri sidang Dewan Rakyat mulai Isnin ini walaupun mereka belum disuntik vaksin COVID-19.

Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, berkata pada masa ini hanya empat Ahli Parlimen belum menerima sebarang suntikan vaksin.

"Semua Ahli Parlimen tetap dibenarkan datang ke Dewan Rakyat walaupun ada yang tidak divaksin atau tidak lengkap vaksin dua dos.

"Ahli Parlimen tidak divaksin masih dibenarkan hadir ke Dewan Rakyat. Kita akan nasihat mereka supaya berhati-hati kerana kita tidak boleh menahan mereka daripada datang bagi menunaikan tugas sebagai wakil rakyat seperti termaktub dalam Perlembagaan," katanya pada sidang media khas melalui aplikasi Zoom, hari ini.

Azhar Azizan berkata, sebanyak 95 peratus Ahli Parlimen sudah menerima dua dos suntikan vaksin manakala selebihnya, satu dos.

Katanya, bagi kakitangan Parlimen termasuk petugas kontrak, pengiring dan pemandu mereka diwajibkan mengambil ujian saringan COVID-19 dan divaksinkan.

"Dua hari lalu kita sudah buat ujian reaksi rantai polimerase (PCR) COVID-19 kepada 1,008 kakitangan dan hari ini bagi semua Ahli Parlimen.

"Setakat ini, 90 peratus kakitangan Parlimen sudah menerima dua dos vaksin," katanya.

Beliau menjelaskan vaksinasi dan ujian PCR itu adalah langkah keselamatan dan kesihatan yang akan dilaksanakan Parlimen bagi persidangan kali ini dan pada masa depan.

Katanya, bagi kakitangan Parlimen dan penjawat awam seperti pegawai kementerian, pengiring dan pemandu Menteri, Timbalan Menteri dan Ahli Parlimen serta pekerja kontrak, mereka disyaratkan perlu divaksinasi.

"Jika mahu masuk ke Parlimen, kita buat peraturan mereka diperiksa di pintu masuk, perlu pengesahan sudah menjalani ujian PCR dan divaksin. Jika tiada, kita akan halang mereka daripada masuk bangunan Parlimen," katanya.

Tiada ulasan: