HALAMAN SANTAI

Khamis, 25 November 2021

PRN Sarawak: Tubuh kerajaan baharu untuk pastikan politik stabil - Abang Jo

Nuzuluddin Abdul Razak
PRN Sarawak: Tubuh kerajaan baharu untuk pastikan politik stabil - Abang Jo
Tegas Abang Jo, kemelut politik negara yang telah tiga kali bertukar Perdana Menteri dalam tempoh singkat wajar menjadi iktibar. - Astro AWANI.
 
MIRI: Kestabilan politik di Sarawak perlu dikekalkan agar kerajaan baharu yang dibentuk nanti akan dapat memberi fokus kepada pembangunan negeri ini.
 
Ketua Menteri Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, keutamaan untuk negeri ini pada waktu ini ialah memiliki kerajaan yang berwawasan serta komited berkhidmat untuk rakyat.
 
“ Alhamdulillah, Kerajaan Negeri Sarawak adalah kerajaan paling stabil ketika ini. Jadi jangan rosakkan kerajaan kita.
 
“Pemimpin datang dan pergi. Tun Taib bersara, (Allahyarham) Adenan datang. Adenan meninggal, Abang Jo datang, dan seterusnya kumpulan ahli politik yang komited dengan rakyat,” katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah Fasa 3 Projek Perumahan Rakyat Permai Jaya di sini pada Rabu.
 
Dalam majlis yang sama, Abang Jo menzahirkan penghargaan kepada barisan pemimpin dalam kabinet negeri termasuk dua timbalannya; Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan kerana memiliki semangat berpasukan yang kuat dalam menerajui pengurusan kerajaan negeri.
 
"Selain itu, kestabilan politik di peringkat persekutuan juga amat penting dan (kita) memerlukan kerjasama yang rapat antara dua kerajaan yang tersebut.
 
Tegasnya, kemelut politik negara yang telah tiga kali bertukar Perdana Menteri seharusnya menjadi iktibar.
 
Atas sebab itu jelasnya, Sarawak sentiasa memberikan keutamaan kepada kestabilan politik sebelum menyokong mana-mana pemimpin nombor satu negara.
 
“Rakyat dah jemu. Mungkin sebab itulah Melaka menjadi demikian.
 
"Orang berkehendakkan kerajaan yang stabil. Maka Melaka menghantar mesej kepada kita.
 
“Keduanya, jangan ada budaya katak atau ‘frogging’ (lompat parti). Rakyat tak mahu, Alhamdulillah di Sarawak tidak ada banyak katak,” katanya lagi.

Tiada ulasan: