MALAYSIA POST
PARTI Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) menggesa Suruhanjaya Pendaftar Pertubuhan (ROS) menolak penubuhan Parti Bangsa Malaysia sebagai sebuah parti politik yang baharu.
Naib Ketua Pemudanya Fatin Fariza, berkata Parti Bangsa Malaysia yang difahamkan diasaskan oleh Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin didakwa mendokong ideologi yang mirip parti IKATAN.
Katanya, sewajarnya ROS menyemak semula parti baru yang ingin didaftarkan bagi mengelak peniruan ideologi parti lain berlaku.
“ROS perlu menyemak semula kewujudan parti-parti yang sudah lama tertubuh di Malaysia dan pastikan ideologi yang ingin dibawa adalah baru. Ini adalah perlu bagi mengelakkan unsur-unsur peniruan ideologi berlaku.
“Pada pendapat saya ideologi mereka ini adalah sesuatu yang bertindih dengan perjuangan parti kami. Parti IKATAN telah ditubuhkan semenjak 2015, enam tahun lamanya. Kenapa baru sekarang ada pihak lain yang ingin membawa ideologi yang sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Mengulas mengenainya, Fatin berkata, perjuangan dan ideologi parti IKATAN masih kekal sama dan tiada perubahan.
“Seharusnya sebarang parti yang baru ditubuhkan perlulah membawa ideologi yang baharu agar tiada sebarang penindihan ideologi dan lambakan parti baharu.
“Kebelakangan ini terdapat ura-ura bahawa parti baharu akan ditubuhkan dengan menggunakan nama Parti Bangsa Malaysia yang juga membawa ideologi Bangsa Malaysia,” katanya.
Sehubungan itu, Fatin menegaskan, parti IKATAN akan melakukan bantahan terhadap ROS jika Parti Bangsa Malaysia diluluskan sebagai parti politik.
“Jika penindihan ideologi masih berlaku, saya dan seluruh ahli parti IKATAN berdiri teguh di belakang pimpinan Presiden Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir dan Ketua Pemuda kami Shahir Adnan dalam mengadakan bantahan kepada ROS,” katanya. -Malaysiapost
Tiada ulasan:
Catat Ulasan