HALAMAN SANTAI

Jumaat, 4 April 2008

Mukhriz, Dr Mohd Khir rasmi berentap
Oleh SA'ODAH ELIAS


PETALING JAYA: Ahli Parlimen Jerlun Datuk Mukhriz Mahathir akhirnya tidak lagi berselindung tentang niatnya untuk bertanding bagi merebut jawatan ketua Pergerakan Pemuda Umno pada pemilihan parti itu Disember depan.

"Ya saya akan bertanding jawatan itu," itulah jawapan Mukhriz terus terang melalui telefon Jumaat apabila ditanya jika beliau telah bersedia mengumumkan pendirian tentang isu itu sehari selepas penyandang jawatan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengumumkan beliau tidak akan mempertahankan kedudukannya.

Sebelum ini, Mukhriz hanya berkata beliau berminat tetapi mahu menunggu tahap sokongan daripada peringkat bahagian sebelum membuat keputusan.

Sungguhpun telah bersedia, kata Mukhriz, sama ada beliau benar-benar akan bertanding kelak bergantung pada jumlah pencalonan yang akan diterimanya daripada bahagian-bahagian yang akan mula bermesyuarat pada 9 Oktober depan.

Sistem kuota masih terpakai bagi pemilihan jawatan-jawatan utama dalam Umno dan sayap-sayapnya.

Selain Mukhriz, bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo juga secara jelas mengumumkan kesediaannya untuk bertanding jawatan nombor satu Pemuda Umno itu.

Ahli majlis tertinggi Umno itu berkata keputusan itu dibuatnya setelah mendapat maklum balas yang sangat positif daripada rakan-rakannya di dalam Pergerakan Pemuda Umno.

"Berdasarkan maklum balas yang sangat menggalakkan itu, saya menawarkan diri untuk bertanding jawatan Ketua Pergerakan Pemuda Umno. Jika dipilih, saya yakin akan dapat membawa dimensi baru ke dalam pergerakan itu," katanya selepas mengumumkan penubuhan Exco bayangan bagi negeri Selangor di Shah Alam.

Menurut Dr Mohd Khir, kesediaan beliau merebut jawatan itu didorong oleh hakikat bahawa ia adalah satu jawatan yang kosong, setelah Hishammuddin mengumumkan penarikan dirinya daripada mempertahankan jawatan itu, Khamis.

Sementara itu, penyandang jawatan Naib Ketua pergerakan itu Khairy Jamaluddin masih terus mendiamkan diri.

Beliau enggan memberikan sebarang ulasan sama ada akan mempertahankan jawatannya itu atau bertanding menentang Mukhriz dan Dr Mohd Khir bagi jawatan ketua.

Menurut sumber, Khairy tidak akan membuat pengumuman awal mengenai kesediaannya bertanding bertanding jawatan ketua sebaliknya akan hanya membuat keputusan apabila mesyuarat bahagian bermula Oktober ini.

Dan jika itu berlaku, katanya, sekurang-kurang empat Exco Pemuda yang berkaliber dan masih belum hilang kelayakan akan bertanding jawatan yang dikosongkan Khairy itu.

Nama yang disebut-sebut itu ialah ialah Ketua Pemuda Johor Razali Ibrahim, ahi Exco Datuk Reezal Merican Naina Merican, Ketua Pemuda Perlis Datuk Rozabil Abdul Rahman dan Naib Ketua Pemuda Selangor Faizal Abdullah.

Sekurang-kurangnya 70% daripada Exco Pergerakan Pemuda Umno akan hilang kelayakan mempertahankan kedudukan mereka kerana mencapai umur melebih 40 tahun pada 1 Januari depan.

Tiada ulasan: