Penggunaan tali pinggang keledar penumpang belakang akan dilaksana JKJR
KUALA LUMPUR: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) akan mencadangkan kepada kerajaan untuk memberikan tempoh tertentu bagi pemilik kenderaan memasang tali pinggang keledar di bahagian belakang kenderaan dan mewujudkan kesedaran sebelum pelaksanaannya.
Ketua Pengarah JKJR, Datuk Suret Singh berkata peraturan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang dijangka dikuatkuasakan beberapa bulan lagi.
"Mungkin sepanjang tempoh itu, polis akan memberikan nasihat jika didapati penumpang di bahagian belakang kenderaan tidak memakai tali pinggang keledar," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan pelekat dan brosur mengenai kempen tali pinggang keledar bagi penumpang belakang kepada pengguna jalan raya di plaza tol Sungai Besi, di sini, Jumaat.
Katanya kereta yang dikeluarkan sebelum 1993, khususnya model Proton dan Perodua iaitu Saga, Kancil dan Kenari tidak dilengkapi tali pinggang bagi penumpang belakang, akan diberikan tempoh tiga hingga lima tahun untuk memasangnya.
"Jabatan telah giat menjalankan promosi bagi penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang sejak tahun lepas, dan kini masanya untuk pelaksanaannya," katanya.
Suret berkata kajian dijalankan Institut Keselamatan Jalan Raya Malaysia mendapati lebih 90 peratus kereta mempunyai tali pinggang keledar di bahagian belakang dan berharap pengguna akan menggunakannya.
"Kita juga perlu didik pengguna untuk tidak mempunyai lebih tiga penumpang di belakang pada satu-satu masa," katanya.
Kajian itu juga mendapati 90 peratus daripada kereta yang dilengkapi tali pinggang keledar membawa lebih daripada tiga penumpang di bahagian belakang pada satu-satu masa.
Suret berkata penguatkuasaan penggunaan tali pinggang keledar bagi penumpang belakang dapat mencegah 350 kematian setahun, mengikut statistik polis bagi kematian penumpang belakang kenderaan yang tidak menggunakan tali pinggang keledar dalam kemalangan jalan raya.
"Pada kelajuan 50km/sejam, pemandu yang memakai tali pinggang keledar berisiko lebih tinggi untuk mati dalam kemalangan jika penumpang di belakang tidak memakainya akibat impak daripada penumpang berkenaan terhadap pemandu adalah empat kali ganda berat badan mereka," katanya. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan