HALAMAN SANTAI

Sabtu, 10 Mei 2008

Had umur baru persaraan bukan automatik: Ketua Pengarah JPA


PUTRAJAYA: Meskipun kerajaan melanjutkan had umur persaraan wajib kakitangan awam daripada 56 kepada 58 tahun, perlanjutan itu bukanlah automatik, kata Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam Tan Sri Ismail Adam.

"Kakitangan awam perlu bersetuju secara individu bahawa mereka mahu terus berkhidmat sehingga mencapai umur 58 tahun," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Pekerja Sektor Awam di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi hari ini mengenai beberapa insentif bagi kakitangan sektor awam, antaranya termasuk had umur persaraan baru yang akan berkuatkuasa mulai 1 Julai.

Yang lain termasuk menghitung pencen mengikut formula berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, iaitu meningkat daripada 25 tahun sekarang. Ia akan berkuatkuasa mulai 1 Jan 2009.

Bagi pencen terbitan pula, ia akan dibayar 100 peratus kepada anggota keluarga gemulah mulai 1 Jan 2009.

Ismail menjelaskan Akta Pencen menyatakan bahawa kakitangan awam perlu diberi pilihan untuk menentukan sama ada mereka mahu meneruskan perkhidmatan sehingga had umur persaraan wajib.

"Mengikut akta itu, kakitangan awam boleh memilih untuk bersara pilihan mulai daripada umur 40 tahun," katanya.

Mengenai penghitungan pencen berasaskan tempoh perkhidmatan sehingga maksimum 30 tahun, Ismail berkata ia akan memberi manfaat kepada semua pesara.

"Ia menyeluruh. Semua pesara akan dapat. Macam saya... bila dihitung semula saya tidak akan dapat sekarang tetapi dalam Januari 2009," katanya.

Sambil menyifatkannya suatu langkah yang baik oleh kerajaan, Ismail berkata pada masa ini, "pencen maksimum yang anda boleh dapat ialah sehingga 25 tahun perkhidmatan.

"Sekarang dengan tambahan lima tahun lagi, anda dapat lebih kalau anda kira pencen anda," katanya.

Ismail berkata dengan insentif baru bagi pesara itu, kerajaan perlu membelanjakan tambahan RM781 juta daripada keseluruhan perbelanjaan pencen semasa yang berjumlah RM5 bilion.

Mengenai pencen terbitan yang akan dibayar 100 peratus kepada anggota keluarga gemulah selepas selang 121/2 tahun dari tarikh persaraan atau kematian seseorang kakitangan awam semasa dalam perkhidmatan, Ismail berkata: "pencen terbitan adalah untuk kedua-duanya."

"Kalau kakitangan kerajaan itu seorang wanita, maka suaminya akan dapat, kalau dia lelaki, isterinya akan dapat," katanya.

Pada perhimpunan itu, Perdana Menteri juga berkata kerajaan bersetuju bahawa ibu atau bapa pegawai yang meninggal dunia tanpa meninggalkan waris akan dibayar pemberian sekali atau ex-gratia.

Merujuk kepada pengumuman itu, Ismail berkata: "bagi pegawai yang tidak ada family... itu satu pemberian daripada kerajaan kepada ibu bapa.

"(Selama ini)... tak pernah bagi pun dan ada formula untuknya. Bergantung kepada tempoh perkhidmatan mereka," katanya.

Semasa diminta mengulas cadangan kerajaan untuk melakukan penambahbaikan kepada Penilaian Tahap Kecekapan (PTK), beliau berkata: "Masingmasing jabatan ada dia punya sistem.

"Satu kaedah yang popular sekarang ini ialah peperiksaan, jadi ini dikaji semula berbanding dengan mengambil peperiksaan. Kemudian mengadakan bentuk penilaian yang lain.

"Ia boleh jadi macam Kementerian Kesihatan, bagi doktor mereka ada apa yang dipanggil pembangunan profesional berterusan (CPD), bermakna apa juga yang mereka (doktor) lakukan, mereka rekodkan," katanya.

Beliau berkata ini termasuk sumbangan, kerja amali, kertas kerja yang ditulis, persidangan yang dihadiri selain hasil penemuan yang mereka lakukan. BERNAMA

Tiada ulasan: