HALAMAN SANTAI

Rabu, 14 Mei 2008

Ka Ting beri keterangan kepada panel siasatan skuad pengintip, dakwa kempen kotor


KUALA LUMPUR: Presiden MCA Datuk Seri Ong Ka Ting hari ini memberi keterangan kepada panel siasatan parti terhadap tuduhan bahawa beliau menubuhkan sebuah skuad pengintip untuk mengintip pergerakan pemimpin lain parti itu dan kemudian berkata dakwaan itu adalah kempen kotor terhadapnya menjelang pemilihan parti Oktober ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh ibu pejabat MCA, Ong berkata tidak ada kebenaran terhadap dakwaan oleh penasihat MCA Bahagian Petaling Jaya Utara Wong Leong yang mula mendedahkan perkara itu bulan lepas.

Ong telah menafikan dakwaan tersebut sebelum ini tetapi majlis presiden parti menubuhkan panel tiga anggota yang diketuai oleh Datuk Sak Cheng Lum, Tan Sri Michael Chen dan peguam Roger Tan untuk menyiasat dakwaan itu.

Ong memberi keterangan kepada panel itu selama sejam mulai pukul 1.45 petang di Parlimen. Beliau menghadiri persidangan Dewan Rakyat.

"Sebagai presiden parti, saya diberi mandat penuh oleh jawatankuasa pusat (MCA) untuk memutuskan calon parti bagi pilihan raya umum (8 Mac). Saya menggunakan mandat yang diberi dengan cermat.

"Saya tidak perlu guna sebarang taktik yang tidak beretika untuk menghilangkan sesiapa," katanya.

Dalam keterangan kepada panel tersebut Isnin lepas, Wong telah menamakan Ketua Pemuda MCA yang juga Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wee Jeck Seng dan bekas pengerusi Gerakan Belia Bersatu, Tee Ann Chuan, sebagai anggota skuad pengintip tersebut.

Wong telah mendakwa bahawa Tee, yang beliau kenalpasti sebagai orang penghubung skuad itu, telah mendekatinya untuk membantu skuad pengintip itu, yang didakwa ditubuhkan pada Februari 2005 dan melaporkan terus kepada Ong bagi menjatuhkan pemimpin politik tertentu dalam parti.

Beliau juga turut mendakwa antara sasaran pemimpin oleh skuad itu ialah bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Datuk Chua Jui Meng, bekas Timbalan Menteri Pelancongan dan naib presiden MCA Datuk Donald Lim Siang Chai, bekas presiden Tun Dr Ling Liong Sik dan anaknya Datuk Lee Hee Leong serta penyokong mereka.

Kemudian panel membuat keputusan memanggil kesemua tiga orang yang dikenalpasti oleh Wong sebagai anggota skuad pengintip itu serta Ong bagi memberi keterangan hari ini.

Ong, bagaimanapun, dalam kenyataannya, menafikan beliau pernah mengupah Tee dengan bayaran RM10,000 sebulan untuk melakukan tugas itu seperti didakwa Wong kerana beliau (Ong) "tidak ada sebarang kaitan dengan tindakan Tee berkenaan hal ehwal parti".

Tiada ulasan: