HALAMAN SANTAI

Khamis, 8 Mei 2008

Kementerian Kerja Raya beri pertimbangan utama naik taraf Jalan Bentong-Gua Musang


KUALA LUMPUR: Kementerian Kerja Raya akan memberi pertimbangan utama untuk menaik taraf Jalan Bentong ke Gua Musang bagi menyelesaikan isu kesesakan lalulintas di laluan itu terutama pada musim perayaan, kata Menterinya, Datuk Ir Mohd Zin Mohamed.

Beliau berkata langkah itu penting kerana pada masa ini jalan berkenaan merupakan laluan perhubungan utama antara Pantai Barat ke Pantai Timur.

Katanya Kementerian Kerja Raya juga akan memastikan pembinaan Lebuh Raya Pantai Timur Kedua (LPT2) yang sedang dilaksanakan, dapat diselesaikan mengikut jadual.

"Saya kira jika LPT2 ini dapat diselesaikan, kita boleh legakan kesesakan ini," katanya semasa menjawab soalan Salahuddin Ayub (PAS Kubang Kerian) pada sesi soal jawab persidangan Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu ketika menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN Libaran), Mohd Zin berkata kaedah perolehan berdasarkan reka dan bina masih diteruskan bagi memastikan kelancaran sesuatu projek.

Bagaimanapun katanya, kelulusan perolehan reka dan bina itu masih tertakluk kepada kelulusan Kementerian Kewangan sebagai agensi pusat yang meluluskan kaedah perolehan bagi projek-projek kerajaan.

Mohd Zin juga memberitahu bahawa projek membina jalan lintas Libaran di Sandakan sepanjang 35 kilometer dimasukkan ke dalam kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK9) dengan keutamaan, daripada 28 projek baru yang dipohon oleh kerajaan Sabah. BERNAMA

Tiada ulasan: