Kementerian Pelajaran timbang beri peruntukan kepada PIBG
KUALA PILAH: Kementerian Pelajaran sedia mempertimbangkan untuk menyalurkan peruntukan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sebagai langkah untuk menghapuskan yuran tambahan bagi mengurangkan bebanan ibu bapa.
Menterinya Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata peruntukan itu bagaimanapun akan diberikan kepada PIBG yang aktif.
"Dalam konteks PIBG, kita tak sekat kalau nak hapuskan yuran tambahan...kita tidak wajibkan pun. Kalau kita tak wajibkan...apa yang nak dihapuskan. Yang penting siapa yang mampu dan mahu membantu PIBG, kalau tak mampu, tak diwajibkan.
"Saya faham kaedah untuk membantu sekolah melalui PIBG boleh dipertimbangkan, hanya kaedah dan jumlahnya sedang saya fikirkan," katanya selepas majlis penyerahan bantuan projek khas perasmian anugerah cemerlang dan mesyuarat agung PIBG Sekolah Menengah Sains Tuanku Ja'afar, Gentam, dekat sini.
Semalam, Majlis Permuafakatan PIBG Nasional mengumumkan bersedia untuk menghapuskan yuran tambahan tetapi dengan syarat Kementerian Pelajaran perlu menyediakan dana bagi mereka menampung kegiatan yang dirancang.
Hishammuddin berkata beliau bersedia mengadakan perjumpaan dengan pemimpin majlis itu untuk membincang dan merangka kaedah terbaik untuk menyalurkan peruntukan tersebut.
Beliau berharap dengan penyaluran peruntukan ini akan dapat mengupayakan PIBG bagi membantu pengurusan sekolah dalam mencapai kecemerlangan pendidikan negara. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan