HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Mei 2008

Kes rasuah 18 Individu Berprofil Tinggi Terus Dikemukakan dalam Sesi Soal Jawab
Suara KeADILan


PARLIMEN (SK) – Sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat sekali lagi digemakan dengan suatu persoalan yang amat tidak disenangi oleh kebanyakan wakil-wakil kerajaan.

Persoalan tersebut berkisar tentang isu yang gagal diselesaikan oleh kerajaan secara sepenuhnya iaitu gejala rasuah dan salahguna kuasa di kalangan elit pemerintah dan golongan tertinggi dalam aparat pemerintah.

Dalam persoalan yang dibangkitkan oleh Dr.Siti Mariah Mahmud (PAS – Kota Raja) yang meminta supaya Perdana Menteri menyatakan bilangan pegawai yang dikenakan tuduhan rasuah sepanjang tahun 2003 hingga 2007 dengan menjelaskan kategori rasuah yang dilakukan oleh mereka. Beliau juga meminta penjelas daripada Perdana Menteri mengenai apakah strategi mutakhir bagi mencegah amalan rasuah di kalangan Pegawai Kerajaan.

Berdasarkan jawapan yang diberikan berhubung soalan tersebut wakil Perdana Menteri, iaitu Menteri di Jabatan Perdana Menteri (BN-Padang Rengas) telah membacakan jawapan dengan menjelaskan bahawa sebanyak 544 pendakwaan dikenakan ke atas pegawai dan kakitangan kerajaan atas pelbagai kesalahan sepanjang tahun 2003 hingga 2007.

Jawapan yang diberikan oleh Menteri tersebut telah menimbulkan soalan tambahan yang dikemukakan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) yang meminta penjelasan mengapa kerajaan Perdana Menteri sehingga kini masih gagal untuk mendakwa 18 kes rasuah berprofil tinggi manakala golongan bawahan yang melakukan kesalahan tersebut akan terus didakwa sedangkan Kerajaan telah meletakkan prinsip ‘zero tolerance for corruption’ di samping meletakkan usaha memerangi rasuah sebagai ‘top most priority’. Menurut Kit Siang lagi, golongan yang berprofil tinggi masih bebas tanpa dikenakan sebarang bentuk pendakwaan.

Di samping itu, Kit Siang turut mempertikaikan di dalam soalan tambahannya betapa Indeks Percepsi Rasuah bagi Malaysia kini telah menurun daripada kedudukan ke-30 kepada 43 sedangkan Plan Integriti Nasional telahpun diperkenalkan dalam tempoh 5 tahun kebelakangan ini. ‘Apakah ini menunjukkan kegagalan plan tersebut’, soal beliau di samping bertanya ‘apakah perlu diadakan satu target yang baru untuk kerajaan meletakkan kedudukan negara sekurang-kurang di kedudukan 20 dunia’.

Persoalan yang dikemukakan oleh Kit Siang tidak dijawab oleh Menteri berkenaan yang hanya menuduh bahawa Kit Siang tidak sedar bahawa usaha membenteras rasuah sememangnya telah dijalankan oleh kerajaan sejak 2004 dan oleh itu diharapkan pihak pembangkang agar dapat bekerjasama untuk memerangi rasuah.

Tiada ulasan: