Laporan video VK Linggam dibuka untuk awam
Agendadaily
Kerajaan akan menjadikan laporan Suruhanajaya Siasatan Diraja berhubung isu rakaman video Datuk V.K. Linggam terbuka kepada awam.
Menurut sumber tinggi kerajaan, walaupun keputusan mengenai perkara itu hanya akan diputuskan oleh Perdana Menteri tetapi besar kemungkinan laporan tersebut akan menjadi dokumen awam.
Malah menurut sumber berkenaan, kerajaan tidak punya pilihan selain daripada bersetuju agar laporan berkenaan dibuka kepada umum.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi semasa sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO berkata, beliau masih belum menerima atau melihat laporan tersebut.
Katanya, jika ada laporan yang menyatakan dokumen itu diserahkan ke Jabatan Perdana Menteri, ia mesti diterima semasa kabinet sedang bermesyuarat pagi Jumaat.
“Selepas kabinet kita sembahyang Jumaat dan petang ini mesyuarat Majlis Tertinggi, jadi saya belum dapat melihat laporan itu lagi,” ujarnya.
Suruhanjaya itu pagi Jumaat telah menyerahkan laporan siasatan berkenaan kepada Yang diPertuan Agong.
Suruhanjaya berkenaan ditubuhkan bagi menyiasat rakaman video yang mempamerkan seorang peguam sedang bercakap melalui telefon dengan seseorang yang didakwa seorang hakim kanan berhubung pengaturan perlantikan hakim.
Ekoran pendedahan rakaman berkenaan, ia telah menjadi isu politik yang besar dan memberikan kesan kepada imeh badan kehakiman negaa ini. Ekoran itu, kerajaan telah menubuhkan suruhanjaya berkenaan untuk mengesahkan rakaman berkenaan dan mementukan kebenaran kandungan rakaman tersebut.
Ditanya adakah kerajaan akan menjadikan laporan tersebut sebagai dokumen awam, Abdullah berkata, beliau belum melihat laporan itu lagi.
Didesak oleh wartawan adakah kemungkinan ia akan dijadikan dokumen awam, beliau tetap menyatakan bagaimana keputusan hendak dibuat sedangkan beliau tidak melihat lagi laporan berkenaan dan terus menolak untuk memberikan komitmen bahawa dokumen tersebut akan dijadikan dokumen awam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan