HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Mei 2008

Lelaki pertama didakwa di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007


JOHOR BAHARU: Seorang lelaki di sini hari ini menjadi orang pertama di negara ini didakwa di bawah Akta Anti Memperdagangkan Orang 2007 kerana melacurkan dua wanita asing.

Ee Chin Kai, 33, menghadapi dua pertuduhan berasingan di Mahkamah Sesyen di sini kerana telah memperdaya dua wanita Thailand, kedua-duanya berusia 27 tahun, dengan mengeksploitasi mereka untuk kerja-kerja pelacuran di sebuah rumah di Taman Pelangi pada 3.10 petang, 25 Mac lalu.

Ee, berasal dari Gelang Patah dikatakan telah menjanjikan pekerjaan sebagai pelayan pusat hiburan di bandaraya ini kepada dua wanita itu tetapi mengeksploitasi mereka bagi kerja maksiat.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 12 akta tersebut yang diluluskan tahun lalu, yang membawa hukuman penjara mandatori tidak lebih daripada 15 tahun atau denda, jika sabit kesalahan. Ee memohon untuk dibicarakan.

Hakim Muhammad Jamil Hussin membenarkan Ee diikat jamin sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin bagi setiap pertuduhan tersebut dan menetapkan 17 Sept bagi mendengar kes itu. BERNAMA

Tiada ulasan: