Malaysia sumbang US$1 juta dan bantuan kemanusiaan kepada Myanmar
BERA: Malaysia akan menyalurkan bantuan kewangan sebanyak US$1 juta (RM3.19 juta) dan bantuan kemanusiaan bernilai RM500,000 kepada Myanmar yang dilanda bencana ribut tropika Nargis pada 2 Mei lepas.
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kabinet telah meluluskan dua jenis bantuan itu dan misi penghantaran bantuan itu akan dilakukan Isnin ini.
Bercakap kepada pemberita di sini hari ini, beliau berkata bantuan kemanusiaan itu, yang akan dibawa dengan pesawat pengangkut, meliputi barangan seperti selimut (5,000 helai), t-shirt, kain (sarung) batik dan pelikat, biskut kering, mi segera, ubat-ubatan bernilai RM100,000 dan khemah (30 unit).
"Kita akan menghantar (bantuan itu) walaupun ada laporan UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) menggantung bantuan mereka tapi kita akan cuba buat penerbangan (ke sana) pada Isnin ini," kata Najib.
Ditanya mengenai kesukaran pihak luar untuk menyalurkan bantuan ke Myanmar, beliau berkata kerajaan Malaysia akan berurusan dengan kerajaan Myanmar bagi menyelesaikan perkara itu.
"Kita perlu dapat kelulusan mendarat dan sebagainya," katanya.
Terdahulu, Najib melancarkan Hari dan Minggu Belia Negara 2008 di Felda Sebertak, dekat sini.
Turut hadir isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Besar Datuk Seri Adnan Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan Datuk Ismail Sabri Yaakob. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan