MIC mohon peruntukan RM300 juta setahun untuk majukan kaum India
JOHOR BAHARU: MIC akan memohon peruntukan sejumlah RM300 juta setahun daripada kerajaan sebagai usaha memajukan masyarakat India di negara ini khususnya golongan yang berpendapatan rendah.
Presidennya Datuk Seri S.Samy Vellu berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam tempoh seminggu ini bagi mengemukakan permohonan terbabit demi pembangunan masyarakat itu bagi tahun 2010 hingga 2020.
"Cadangan permohonan peruntukan ini sudah dikemukakan kepada Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Amirsham A. Aziz serta Menteri Kewangan Kedua Tan Sri Nor Mohamed Yakcop dan satu pertemuan dengan PM akan diadakan dalam tempoh seminggu ini," katanya kepada pemberita pada Konvensyen MIC Johor kali ke-62 di sini hari ini.
Hadir sama Timbalan Presiden MIC Datuk G. Palanivel, Setiausaha Agung Datuk Dr S. Subramaniam dan Pengerusi Badan Perhubungan MIC Johor Datuk K.S. Balakrishnan.
Beliau berkata di bawah cadangan peruntukan itu, RM100 juta daripadanya dicadang untuk disalurkan kepada golongan miskin bagi tujuan pinjaman pembelian saham daripada institusi-institusi yang melibatkan masyarakat India manakala RM10 juta lagi bagi pembangunan pertanian.
"Peruntukan ini juga akan digunakan bagi memberi pinjaman kepada masyarakat India di negara ini untuk terlibat dalam Industri Kecil dan Sederhana, membangunkan sekolah-sekolah Jenis Kebangsaan Tamil serta pelbagai pembangunan lain," katanya.
Dalam pada itu, Samy Vellu berkata pihaknya mensasarkan jangka masa setahun bagi mengukuhkan semula parti itu menerusi pengambilan anggota baru di kalangan golongan muda sejajar dengan rancangan penjenamaan semula MIC.
"Satu jawatankuasa akan ditubuhkan bagi menarik golongan muda menyertai MIC selain mendapatkan pelbagai maklum balas daripada kalangan akar umbi," katanya.
Beliau berkata selepas dua hari pengumuman penjenamaan semula parti itu, pihaknya menerima pelbagai maklum balas positif di kalangan anggota dan MIC juga akan mendapatkan maklum balas daripada badan bukan kerajaan dan persatuan-persatuan belia.
Sementara itu, Samy Vellu berkata beliau akan cuba memberi bantuan kepada lima pemimpin Hindu Rights Action Force (Hindraf), yang kini kekal ditahan di Pusat Tahanan Kamunting mengikut Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), seperti yang diminta penyokong barisan berkenaan.
"Penjelasannya ialah saya sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Peguam Negara dan peguam yang mewakili pemimpin terbabit, tetapi, saya dinasihat supaya tidak mencampuri urusan ini. Bagaimanapun, saya akan cuba bantu," katanya.
Samy Vellu berkata demikian mengulas pertemuan dengan penyokong barisan berkenaan hari ini, selepas kira-kira 10 anggota Hindraf datang ke kongres berkenaan bagi mendesak membantu pembebasan pemimpin mereka, peguam M. Manoharan, 46, yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Kota Alam Shah, P. Uthayakumar, 46, V. Ganabatirau, 40, R. Kenghadharan, 40, dan bekas pegawai bank K. Vasantha Kumar, 36.
Kelima-lima mereka ditahan pada 13 Dis lepas kerana terbabit dalam penganjuran demonstrasi jalanan di Kuala Lumpur pada 25 Nov, dan kerana mengeluarkan kenyataan memfitnah terhadap kerajaan. BERNAMA
Tiada ulasan:
Catat Ulasan