HALAMAN SANTAI

Isnin, 12 Mei 2008

OKU Serah Memorandum Bantah Tindakan Menghina di Dewan Rakyat
Suara KeADILan


PARLIMEN (SK) – Seramai 15 orang golongan Orang Kurang Upaya (OKU) yang mewakili Malaysian Against the Discrimination of the Disabled (MDD) telah hadir di Parlimen untuk menyerahkan memorandum bantahan tindakan menghina golongan tersebut di Dewan Rakyat.

MDD adalah gabungan beberapa pertubuhan orang kurang upaya yang terdiri daripada The Independent Living and Training Centre, Malaysian Animal-Assisted Therapy for the Disabled and Elderly Association (PETPOSITIVE), dan Pertubuhan Orang Cacat Cina.

Memorandum bantahan tersebut timbul berikutan daripada tindakan beberapa Ahli Dewan Rakyat yang dikatakan telah menghina golongan kurang upaya melalui penghinaan terhadap Karpal Singh (DAP-Tasik Gelugor) yang didakwa tidak menghormati Dewan kerana tidak berdiri ketika bangun menyoal di Parlimen.

Tindakan tersebut telah dilihat oleh MDD sebagai simbolik menghina golongan OKU di negara ini memandang pemimpin DAP tersebut kini masih menggunakan kerusi roda untuk menghadiri sidang Dewan Rakyat yang berlangsung sejak 30 April 2008.

Berikutan daripada tindakan menghina tersebut, wakil MDD yang hadir di Parlimen telah menghantar memorandum tersebut yang antara lain menuntut agar:

i. Ahli YB yang berkenaan segera meminta maaf kepada seluruh golongan OKU di Malaysia.
ii. Meminta sebarang bentuk tindakan diskriminasi terhadap OKU di dalam Parlimen segera dihentikan.
iii. Menuntut sebarang tidakan disiplin diambil terhadap Ahli Parlimen yang melanggar peraturan menghina golongan OKU.
iv. Menuntut supaya tiada sikap prejudis dilabelkan kepada OKU dimana setiap Ahli Parlimen sepatutnya menggunakan kedudukan untuk mengemukakan soal pembelaan golongan OKU sama ada dari segi pengangkutan awam, kebajikan kesihatan, pendidikan, pengangguran, komunikasi dan seumpamanya.
v. Menuntut Parlimen supaya mesra-OKU.

Memorandum tersebut telah diserahkan kepada Ketua Parti Pembangkang, Datin Seri Dr.Wan Azizah Wan Ismail pada jam 12.47 tengah hari di Perkarangan Dewan Rakyat.

Tiada ulasan: