HALAMAN SANTAI

Rabu, 7 Mei 2008

Ramai wakil BN tidak mahir peraturan mesyuarat Parlimen
Intan Abdullah


KUALA LUMPUR (Hrkh) - Ahli-ahli BN dinasihatkan oleh Timbalan Yang Dipertua Dewan, Dato' Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar(Santubong-BN) agar tidak menggunakan peraturan mesyuarat Dewan Rakyat dengan sewenang-wenangnya untuk kepentingan sendiri tanpa mengambil kira hubungkait peraturan yang dirujuk dengan isu yang sedang dibincangkan di dalam dewan.

"Saya ingin mengingatkan ahli-ahli yang berhormat agar berhati-hati dan meneliti sebaiknya peraturan atau point of order yang ingin dibangkitkan untuk menegur perbahasan dewan," ujarnya kepada sidang dewan semalam.

Teguran tersebut dibuat ekoran tindakan beberapa ahli parlimen BN yang mencelah ketika perbahasan ucapan junjung kasih Duli Yang Maha Mulia Yang DiPertuan Agong oleh beberapa wakil rakyat Pakatan Rakyat yang diketuai oleh Lim Kit Siang (Ipoh Timur-DAP).

Ia bermula apabila Dato' Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak-BN) menyebut perkara 44 peraturan mesyuarat yang kemudiannya turut disambung oleh Dato' Bung Moktar Radin (Kinabatangan-BN) yang merujuk kepada perkara 36 (3) yang mendakwa mantan Ketua Pembangkang Dewan Rakyat sesi lalu itu mempunyai prasangka jahat kepada pemimpin negara.

Bagaimanapun, Yang DiPertua Dewan Rakyat mententeramkan suasana kerana beliau masih melihat perbincangan masih lagi berkisar mengenai kes Raja Petra Kamarudin sebagai contoh yang dibawakan Lim sebagai perkara asal.

"Yang Berhormat, saya rasa perkara dalam peraturan mesyuarat yang disebutkan itu tidak mempunyai perkaitan dengan perbincangan sekarang ini, dan saya merasakan ianya masih berkisar mengenai perkara asal yang dibawakan," tegas beliau sambil disambut sokongan ahli-ahli dewan yang lain.

Tajudin yang tidak berpuas hati dengan kenyataan tersebut bangkit sekali lagi sambil mendakwa kenyataan-kenyataan Lim mengelirukan dan tidak tertib.

Kesal dengan tindakan ahli-ahli parlimen BN tersebut, Lim meminta agar pihak yang terlibat agar tidak menyalahgunakan peraturan mesyuarat untuk kepentingan peribadi.

"Saya mengucapkan terima kasih kepada Yang DiPertua, ahli-ahli parlimen BN sepatutnya faham akan peranan dan fungsi peraturan mesyuarat dan tidak boleh bertindak menyalahgunakannya," katanya sebagai penegasan kepada saranan Wann Junaidi.

Perbahasan bersambung semula dengan hujah seterusnya oleh Lim Kit Siang. -

Tiada ulasan: