HALAMAN SANTAI

Jumaat, 16 Mei 2008

Selangor Lantik Ahli Majlis PBT Berkelayakan


SHAH ALAM(SK) - KERAJAAN Pakatan Rakyat negeri Selangor akan melantik ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dari kalangan profesional termasuk mereka yang mempunyai perbezaan fahaman politik.

Menteri Besar Selangor, Abdul Khalid Ibrahim, berkata kriteria keutamaan akan diberikan kepada mereka yang bersama Pakatan Rakyat dan berkemampuan memenuhi kriteria profesionalisme yang tinggi bagi memudahkan urusan pentadbiran dijalankan.

Disamping itu, menurutnya, keutamaan juga adalah untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik kepada rakyat sambil meningkatkan imej setiap PBT di negeri itu.

Bagaimanapun katanya, kalangan ahli majlis tidak akan dilantik jika mereka tidak mempunyai kelayakan professional tidak kira samada mereka terdiri daripada Ahli Pakatan Rakyat mahupun parti politik lain.

“Parti yang lain pun boleh kalau mereka profesional memandangkan kriteria yang digunakan adalah profesional dan ada yang datang secara sukarela tetapi tentunya kami memberikan keutamaan terhadap mereka yang kita kenal,” katanya lagi.

Khalid berkata demikian selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan di Padang Dataran Shah Alam, di sini, 1 Mei lalu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kelewatan pelantikan anggota majlis PBT di Selangor sesudah ramai ahli majlis daripada komponen parti Barisan Nasional (BN) melepaskan jawatan itu berikutan kekalahan BN di negeri itu.

Majlis anjuran bersama kerajaan negeri dan Majlis Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) itu turut dihadiri oleh Presiden MTUC Syed Shahir Syed Mohamad dan Setiausaha Agungnya G.Rajasekaran serta ahli-ahli Exco dan pegawai-pegawai kerajaan negeri.

Menurut Khalid, kelewatan itu berpunca daripada kesulitan kerajaan negeri memilih ahli majlis yang berkelayakan walaupun ramai yang memohon menawarkan diri untuk mengisi jawatan berkenaan.

“Susah untuk membuat keputusan tetapi saya agak gembira sekarang kerana saya mempunyai beberapa jurutera, arkitek dan akauntan yang bersedia memberi khidmat sosial tetapi kita perlu mengimbanginya.

“Kita tidak akan jejaskan keberkesanan PBT kerana kelewatan ini dan kita mahu memperkenalkan kualiti supaya mereka boleh menyelesaikan beberapa masalah dan komunikasi antara rakyat dan PBT,” katanya.

Tiada ulasan: