Skuad Badar ditubuhkan semula
Sinar Harian
SHAH ALAM – Kerajaan Negeri Selangor bercadang mewujudkan semula sukarelawan Badan Amar Makruf Nahi Mungkar (Badar) bagi membantu membendung gejala sosial dan keruntuhan akhlak terutama di kalangan remaja negeri ini yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Exco Hal Ehwal Islam, Adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Datuk Dr Hassan Mohamad Ali berkata penubuhan semula Skuad Badar yang pernah diperkenalkan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) pada 1996 adalah untuk mengekang kemungkaran yang berlaku sama ada secara sedar mahupun tidak.
Katanya, penubuhan semula skuad tersebut yang pernah mencapai era gemilang dalam membasmi maksiat dan jenayah sedekad yang lalu merupakan satu pendekatan akan merubah senario kehidupan masyarakat di Selangor sekarang.
“Saya melihat bahawa mencegah adalah lebih baik daripada merawat dan kerana itu jugalah Skuad Badar dirancang untuk ditubuhkan semula.
“Sebelum ini kerajaan pusat mahupun negeri hanya menumpukan kepada amal makruf (kebaikan) sahaja tanpa membanteras kemungkaran yang berlaku. Jadi skuad ini akan bertindak secara menyeluruh dengan mengamalkan konsep amal makruf nahi mungkar,” katanya.
Menurut Dr Hassan, cadangan tersebut pasti akan mendapat pandangan yang negatif daripada masyarakat tambahan pula Skuad Badar pernah mencipta kontroversi namun beliau percaya ia adalah salah satu usaha terbaik dalam mencegah kemungkaran.
“Mungkin pelaksanaan sesetengah pihak menggunakan kekerasan mahupun cara kurang sesuai ketika menjalankan tugas tersebut. Jentera yang menggerakkan Skuad Badar ini nanti bertindak dengan cara yang lebih positif dan bijak, sekali gus memberikan gambaran yang lebih besar mengenai tugas sebenar entiti terbabit," katanya.
Walaupun telah mempunyai perancangan mengenai mekanisme dan modus operandi yang akan diguna pakai nanti, beliau menegaskan perbincangan lebih lanjut bersama jawatankuasa akan dijalankan sebelum kertas kerja Exco dikemukakan bagi mendapatkan kelulusan secepat mungkin.
Ketika menerangkan nama skuad tersebut diambil sempena nama peperangan badar yang terjadi di Mekah ketika Nabi Muhammad s.a.w menentang kaum Quraisy pada zaman awal Islam, Dr Hassan turut memberitahu Sinar Harian bahawa perlaksanaan skuad itu nanti hanya akan menjurus kepada mereka yang beragama Islam sahaja.
“Tumpuan akan lebih diberikan kepada masyarakat Melayu kerana rata-rata permasalahan sosial yang kita lihat sekarang kebanyakannya disebabkan oleh anak Melayu itu sendiri,” katanya.
Bagi mengelakkan timbulnya kekeliruan dalam masyarakat atau masalah yang akan timbul lantaran penubuhan semula skuad tersebut nanti, Dr Hassan berkata setiap sukarelawan Badar akan dibekalkan dengan kad kuasa dan mereka hanya akan bertindak sebagai pembantu kepada pegawai agama.
Ditanya sama ada terdapat persamaan di antara Skuad Badar dan Skuad Amru (amal makruf nahi mungkar) di Kelantan, beliau berkata mungkin matlamat yang dijalankan oleh kedua-dua badan tersebut adalah sama tetapi berbeza dari segi pelaksanaannya.
“Apa yang penting ialah roh (semangat) yang terdapat dalam entiti tersebut adalah untuk membendung kemungkaran dan menegakkan kebaikan,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan