YDP Maipp perlu jawab isu murtad
Mohd Sabri Said
GEORGETOWN (Hrkh) - Yang DiPertua Majlis Agama Islam Pulau Pinang (Maipp), Shabudin Yahya wajar memberi jawapan kepada masyarakat Islam keseluruhannya kenapa kes murtad membabitkan saudara baru (mualaf) Siti Fatimah Tan Abdullah,39, boleh berlaku.
Sedangkan, Maipp mempunyai pendakwah yang berkalibar dan boleh membimbing mereka menjadi umat Islam yang kuat dengan pegang akidah.
"Saya sedih dan terkejut bilamana mendengar Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan Siti Fatimah murtad tambahan lagi kes tersebut adalah kes pertama di negara ini, " demikian kenyataan Timbalan Ketua Menteri 1, Mohamad Fairuz Kahirudin ketika ditanya selepas sidang media bersama Ketua Menteri semalam.
Amat memalukan, Bekas Hakim Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang yang mendengar kes itu dahulunya, Othman Ibrahim yang kini Ketua Hakim Syarie Perlis menegaskan, kekesalan dengan mengkritik Maipp kerana lalai dengan tanggungjawab untuk menjaga kebajikan mualaf.
Menurutnya, beliau baru dimaklumkan kes tersebut berlarutan dua tahun lalu dan ini membuktikan kegagalan pengurusan Maipp terutamanya di bawah Shabudin Yahya yang diberikan amanah menjagai kesucian Islam.
"Rupa-rupanya Maipp mengabaikan soal kebajikan mualaf dan ini harus diperbetulkan. Selepas ini saya mahu ia diselenggarakan kembali dengan memberi penumpuan pada golongan saudara baru bukan macam dulu, " jelasnya.
Beliau berkata, apa yang diperkatakan menerusi keputusan penghakiman membuktikan betapa seriusnya isu ini.
Umat Islam di sini patut buka mata untuk menilai kebolehan pengurusan Maipp di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) yang dilihat lebih suka bermain politik lebih daripada mengerakan program dakwah kepada saudara baru.
Seharusnya, bila saudara baru memeluk Islam mereka diberikan penerangan dengan menjaga kebajikan sebagai tanggungjawab umat Islam.
Dua hari lalu Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang membenarkan Siti Fatimah murtad setelah mahkamah mendapati beliau tidak pernah mengamalkan ajaran Islam sejak memeluk Islam pada 15 Julai 1998 lalu.
Hakim juga memerintahkan Maipp membatalkan sijil memeluk Islam wanita itu.
Keputusan itu dibuat berdasarkan undnag-undang yang mula terpakai sejak 1 Januari 2006 lanjutan daripada Seksyen 61 (3) b (x) di bawah Enakmen Aturcara Mal 2004 Mahkamah Syariah Pulau Pinang.
Menurut penyataan tuntutannya, beliau tidak pernah yakin dengan ajaran Islam dan hanya memeluk Islam kerana sekadar mencukupi syarat bagi membolehkannya berkahwin dengan lelaki warga Iran bernama Ferdoun Ashanian pada 16 September 2004. - mks.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan