HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Jun 2008

Mufti Perlis nafi sertai PKR


KOTA BAHARU: Mufti Perlis Dr. Mohd Asri Zainul Abidin menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa beliau telahpun menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Beliau berkata, buat masa ini belum terlintas di hatinya untuk menyertai mana-mana parti politik, sebaliknya beliau mahu menjadi seorang yang merdeka tanpa terikat dengan mana-mana parti politik.

"Saya rasa cukuplah dengan ahliahli parti itu yang ada, nanti dikatakan kacau pula," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas menjadi ahli panel Wacana Perdana 100 Hari Pemerintahan Pakatan Rakyat di sini, semalam.

Kesediaan beliau menghadiri majlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Majlis Perbandaran Kota Baharu (MPKB) itu dikaitkan dengan penyertaan beliau ke dalam PKR.

Mohd Asri berkata, kesediaannya memenuhi undangan itu sebagai tanggungjawab dakwah sebagai mana yang dihadirinya pada majlis yang dianjurkan oleh pihak lain.

"Sebagai Mufti saya tidak boleh berpolitik dengan mana-mana parti politik dan saya bebas menyatakan kebenaran tentang Islam tanpa mengira fahaman politik," katanya.

Beliau menolak sama sekali penyertaannya pada majlis itu sebagai menyokong parti yang dipimpin oleh Pakatan Rakyat (PR) dan menentang kerajaan pusat.

"Tidak begitu, tetapi kehadiran saya sebagai memenuhi undangan dan memberi sebuah pandangan yang bebas dan tidak menyokong mana-mana pihak," katanya.

Bagaimanapun beliau tidak menolak ada menyokong beberapa dasar yang dilaksanakan oleh parti tertentu tetapi tidak menafikan kembali menentang pada perkara lain.

"Masa depan tidak tahulah (sama ada menyertai mana-mana parti politik)," katanya. BERNAMA

Tiada ulasan: