HALAMAN SANTAI

Ahad, 22 Jun 2008

Kerajaan Pusat lulus RM30 juta untuk bantu 13 ribu rakyat Kelantan
Oleh Bernama


KERAJAAN pusat meluluskan peruntukan berjumlah RM30 juta untuk membantu lebih 13,000 rakyat Kelantan yang memerlukan pelbagai bentuk bantuan di bawah program kebajikan sepanjang tahun ini.

Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan Che Ngah Ismail berkata peruntukan itu lebih besar berbanding RM7 juta yang diluluskan oleh kerajaan negeri yang sebahagian besarnya untuk perbelanjaan mengurus.

"Program itu membabitkan pelbagai program termasuk orang kurang upaya (OKU) dan pesakit kronik," katanya kepada pemberita selepas menutup hari keluarga Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Kampung Jeram-Gaal di Tok Bali di sini, semalam.

Che Ngah berkata peruntukan kerajaan pusat itu lebih besar berbanding RM24 juta yang diluluskan sepanjang tahun lepas.

Beliau berkata peruntukan tambahan itu bagi melaksanakan satu lagi program baru iaitu membantu penyakit kronik yang terlantar dan memerlukan keluarga merawatnya sepanjang masa.

Che Ngah berkata setiap mereka yang layak akan menerima bantuan sebanyak RM300 sebulan untuk meringankan bebanan keluarga.

Katanya mereka yang berpendapatan tidak melebihi RM700 sebulan layak memohon di pejabat kebajikan masyarakat mulai sekarang di kawasan masing-masing.

Beliau menjangka permohonan rakyat yang memerlukan bantuan akan bertambah sebanyak 10 peratus berbanding sebelum ini memandangkan pihaknya menerima semakin banyak borang permohonan setiap hari dari seluruh jajahan.

"Setiap permohonan akan diteliti secara terperinci untuk memastikan mereka yang benar-benar layak sahaja menerimanya," katanya.

Tiada ulasan: