HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Ogos 2008

DPPPs kesal kadar kes rogol di Perlis meningkat
Bashir Ishak


KANGAR - Dewan Pemuda PAS Perlis (DPPPs) dengan rasa penuh prihatin melahirkan kekesalan di atas peningkatan kadar kes rogol khususnya yang membabitkan gadis bawah umur di negeri ini.

Ini berikutan kenyataan Ketua Polis Perlis, Dato' Ghazali Mohd Amin bahawa kes rogol meningkat sehingga lebih 85 peratus bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini khususnya peningkatan ketara kes rogol bawah umur yang katanya amat membimbangkan.

Tambahan pula, sebahagian besar kes rogol bawah umur dilaporkan dilakukan oleh orang yang dikenali mangsa iaitu sama ada kekasih, jiran atau saudara mara.

Begitu juga, siasatan mendapati kejadian berlaku atas kerelaan mangsa tetapi apabila berlaku ke atas gadis bawah umur, ia diklasifikasikan sebagai rogol.

Ketua DPPPs, Ustaz Ya'akub Abu Seman melahirkan rasa kesal dan terkejut dengan statistik yang begitu membimbangkan ini apatah lagi ia lebih bersifat perlakuan seks bebas atau perzinaan.

"Laporan menyatakan kebanyakan kes melibatkan kerelaan dan hanya diklasifikasikan sebagai rogol kerana melibatkan gadis bawah umur. Ini amat mengejutkan kita. Kalau dengan kerelaan bukan rogol namanya, tapi zina atau seks bebas. Statistik yang diberikan juga adalah besar bagi negeri Perlis yang kecil ini.

"Kita yakin dalam kebanyakan kes, ia hanya dilaporkan apabila gadis-gadis ini sudah terlanjur. Itu yang berlapor, entah berapa banyak lagi yang tak berlapor atau berapa banyak lagi yang bakal dilaporkan," katanya.

Menurutnya, kejadian sedemikian terjadi akibat kegagalan sistem pendidikan di negara ini untuk memberikan penekanan ke arah pengukuhan iman dan akhlak kepada para pelajar dan golongan remaja.

Selain itu katanya, golongan ini juga didedahkan dengan pelbagai perkara yang merosakkan pemikiran mereka yang mendorong ke arah perlakuan maksiat dan dosa.

"Hari ini penyalahgunaan teknologi seperti komputer, internet dan telefon mudah alih membolehkan pelajar berkongsi menonton gambar atau filem lucah.

"Mereka juga sering didedahkan dengan budaya hedonisme atau hiburan melampau yang turut ditaja oleh pihak kerajaan, pergaulan bebas tanpa batasan dan akhirnya terjebak ke kancah maksiat," katanya.

Ustaz Ya'akub juga melihat peranan ibu bapa juga penting dalam pembentukan peribadi anak-anak khususnya yang memasuki alam remaja.

"Jiwa mereka jika tidak diisi dengan iman, akan mudahlah dipengaruhi dengan pelbagai perkara yang merosakkan. Ibu bapa tak boleh sepenuhnya menyerahkan tugas mendidik anak-anak kepada guru-guru di sekolah sebaliknya mengambil berat apa yang dilakukan anak-anak selepas waktu persekolahan.

"Pendidikan agama di luar sekolah juga perlu ditekankan. Ajar mereka menghadiri kelas pengajian agama di masjid atau surau," ujarnya. Tambahnya, pihak berwajib perlu memperhebatkan peranan dalam memberi penekanan ke arah pembentukan iman, akhlak dan moral golongan remaja di samping mengusahakan kempen berkaitan bahaya hedonisme dan pergaulan bebas.

"Pemuda PAS Perlis bersedia bekerjasama dengan pihak berkuasa dalam usaha membanteras atau membendung gejala sosial serta maksiat di negeri ini," jelasnya. - mns_

Tiada ulasan: