HALAMAN SANTAI

Isnin, 4 Ogos 2008

Wawasan 2020 mungkin terjejas
Oleh : Arshad Khan dan Nizam yatim

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, usaha Malaysia menjadi negara maju menjelang 2020 mungkin terjejas berikutan peningkatan harga minyak dan bahan binaan yang keterlaluan.

Menurut Perdana Menteri, untuk mencapai status negara maju menjelang 2020, pertumbuhan ekonomi enam peratus setahun secara berterusan adalah amat penting bagi memastikan semua yang dirancang berjalan mengikut jadual.

“Kalau kita boleh mengekalkan pertumbuhan enam peratus setahun, maka ia (menjadi negara maju) akan mengikut jadual, tetapi kini, kita menghadapi masalah berikutan peningkatan harga minyak dan bahan binaan,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian pada sesi soal jawab selepas menyampaikan ucaptama bertajuk Pembangunan Menyeluruh dan Peranan Kerajaan pada Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia yang turut dihadiri Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Pada sesi itu, salah seorang peserta bertanya apakah perjalanan menuju Wawasan 2020 sedang berlaku mengikut jadual.

Tambah Abdullah, kerajaan sedang berusaha sebaik mungkin untuk memastikan segala yang dirancang untuk mencapai Wawasan 2020 itu berjaya dilaksanakan dan semua halangan yang wujud dapat diatasi.

“Kita telah memperuntukkan sejumlah wang yang banyak bagi tujuan itu,” katanya.

Namun jelas beliau, segalanya tidak semudah yang disangka kerana peningkatan kos bahan binaan adalah terlalu tinggi dan di luar jangkaan.

Tambahnya, keadaan itu menjadi lebih buruk lagi apabila wujud masalah inflasi yang menyusahkan rakyat dan perlu juga ditangani pada masa yang sama.

Namun, Abdullah meminta semua pihak agar berkerja keras bagi memastikan Wawasan 2020 mencapai sasarannya seperti yang telah ditetapkan.

Menjawab satu soalan lain, Abdullah berkata, beliau tidak pernah lupa sebarang janjinya kepada rakyat terutama perkara-perkara yang terkandung dalam manifesto Pilihan Raya Umum 2004.

Bagaimanapun kata beliau, apa yang dijanjikannya sebelum ini adalah sesuatu yang hanya boleh dicapai dalam satu jangka masa panjang kerana melibatkan perubahan minda dan gaya pemikiran rakyat negara ini.

Jelasnya, perubahan itu berbeza dengan perubahan infrastruktur atau fizikal yang boleh dilakukan dengan pantas.

“Apa yang terkandung dalam manifesto 2004 bukanlah untuk dicapai dalam tempoh lima tahun pertama saya menjadi Perdana Menteri,” katanya.

Abdullah menegaskan, beliau amat menyedari janji-janjinya seperti perubahan dalam sistem kehakiman dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) masih belum terlaksana sepenuhnya.

Namun katanya, pelbagai langkah termasuk penubuhan jawatankuasa khas sudah pun dilakukan ke arah memastikan janji-janji itu dipenuhi.

“Saya tidak mahu memberikan alasan untuk tidak menunaikan janji saya, saya ingin memenuhinya,” katanya.

Pada sesi sama, Perdana Menteri memberitahu, langkah sedang diambil untuk memastikan perkhidmatan awam disertai semua kaum dan bukannya kaum tertentu sahaja.

Tiada ulasan: