HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Oktober 2014

Selamat bertugas saudaraku YAB Azmin Ali





Oleh Subky Latif


SELEPAS lebih tiga bulan bertikai tentang penggantian TS Khalid Ibrahim sebagai Menteri  Besar Selangor, akhirnya Azmin Ali, calon ketiga PKR untuk jawatan itu diperkenan oleh Istana. Calon asal Datuk Seri Anwar Ibrahim dan kedua Dr. Wan Azizah Ismail.
   
Perlantikan Azmin itu dipercayai mengakhiri perebutan kerusi panas ketua kerajaan negeri Selangor itu dan sebagai Menteri Besar, Azmin memikul amanah besar bagi memulihkan kecelaruan politik negeri Selangor, perpaduan Pakatan Rakyat dan keyakinan rakyat seluruhnya terhadap kelancaran pentadbiran kerajaan negeri.

MB baru itu tentunya ada senarai tentang kekurangan MB yang digantikannya, tetapi padangan umum terbanyak mengira TS Khalid adalah MB terbaik daripada 14 semuanya. Sebagai ketua kerajaan Selangor, sebagai kerajaan termaju dan terkedepan daripada semua  negeri, kiranya ada kajian dan tinjauan, mungkin dikira MB terbaik dalam kalangan semua.
   
Apakah pandangan itu tepat atau tidak, tetapi itulah persepsi umum hingga hampir  menjadikan Khalid sebagai legenda baru buat  semua yang tidak disedari.
    
Maka Azmin datang  menggantikan MB yang dikatakan demikian. Tentulah ia satu cabaran baginya bagi menyambung pentadbiran yang boleh dikira bertaraf lima bintang. Besarlah amanah yang terpaksa digalas Azmin bagi mengimbangi apa yang orang rasakan itu.
   
Azmin sebagai orang sekian lama memantau pentadbiran dan pimpinan Khalid sudah bersedia lama bagi membuat apa yang lebih baik  atau paling tidak adalah tidak kurang daripada pencapaian orang digantikannya.
    
Orang di luar yang belum tahu akan keupayaan Azmin tentu mengira Azmin berdepan dengan cabaran yang sukar.
   
Dalam suasana demikian, kita semua mengucapkan syabas dan selamat bertugas kepadaMB baru itu yang tentunya telah bersedia dengan pelan pembaharuannya.
  
Pemilihannya sebagai Menteri Besar di negeri yang utama itu memperkuat kedudukan politik Azmin sebagai pelapis utama Anwar Ibrahim yang dari segi usia masuk ke peringkat warga emas.
   
Azmin telah jadi hulubalang Anwar sejak menjadi Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan, jatuh bangun bersamanya, tidak segera berada dalam barisan depan ketika partinya ditubuhkan, tetapi naik dari setapak ke setapak untuk menjadi Timbalan Presiden PKR. Dia dikira orang berotak dan tahu apa yang dibuatnya.
    
Jika dulu orang tidak nampak siapa akan menggantikan Anwar jika sesuatu berlaku, maka dengan kedudukan baru Azmin sekarang, maka dialah orangnya telah bersedia memikul tanggungjawab pimpinan PKR masa akan datang.
   
Sebagai pemimpin sebenar PKR selepas Anwar, maka dialah antara tokoh yang akan ke depan dalam muafakat Pakatan Rayat. Sebagaimana Lim Guan Eng terlindung justeru ada bapanya Lim Kiat Siang dalam DAP, maka Azmin juga terlindung dengan pimpinan Anwar.
    
Dengan jawatan barunya sebagai Menteri Besar Selangor, maka Azmin telah membukai tirai sebagai calon utama dan yang ada setakat ini bagi mengambil tempat Anwar. Dan prestasi kerjanya sebagai Menteri Besar menyamai Khalid, maka ia adalah pengesahan ganti Anwar akan selesai.
   
Apakah Azmin dari segi ketokohan dan kepintaran  dapat menyamai Anwar  tidak berbangkit, tetapi dari segi kedudukan Azmin sudah berada di tangganya. Apakah dia akan menjadi juru cakap Pakatan masa depan bergantung kepada keupayaannya mengembalikan Pakatan sebagai tenaga yang  padat.
    
Sebagai MB mampukah Azmin mengembalikan Pakatan yang mulai dilihat rapuh jadi padat semula? Siapa yang dapat  memadatkan Pakatan Rakyat, dialah yang dapat menghadapi Khairy Jamaludin dari pimpinan Barisan Nasional.

Tiada ulasan: