Dengan lagak mereka meneruskan tindakan undang-undang yang digelar pemerhati sebagai Sodomi II, kerajaan Barisan Nasional seakan bakal mengangkat ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim ke tahap sehebat Presiden Nelson Mandela dari Afrika Selatan.
Samada Anwar layak dipandang sebegitu rupa atau sebaliknya, kini Anwar
yang juga ketua umum PKR sekali lagi dilihat pejuang rakyat.
Sebelum ini, saya kurang gemar menyamakan tokoh kelahiran Pulau Pinang itu dengan negarawan ulung Nelson Mandela. Namun pada ketika ini, pendirian saya sudah sedikit berbeza.Secara peribadi, saya dapati cita-cita Ahli Parlimen Permatang Pauh ini yang mahu menjadi Perdana Menteri tidak layak dibandingkan dengan perjuangan tokoh Afrika Selatan ini yang tidak dibelenggu kepentingan sendiri.
Beliau memang banyak berjuang dan boleh dikatakan membina platform ke
arah reformasi, namun platform yang sama digunakannya bagi mencapai
cita-cita peribadi beliau.
Sejak
dahulu lagi, saya melihat perkembangan tokoh Permatang Pauh ini dan saya
berpendapat Anwar seorang ahli politik oportunis yang dianggap hebat
kerana berjaya melonjakkan namanya dalam jangka masa yang singkat.
Namun, saya berpendirian, sekiranya anda mahu mengukur kepada prinsip
dan kehebatan seseorang pemimpin, sudah tentu perkara paling utama
ialah kebolehannya memimpin dan memberi inspirasi kepada rakyat.
Oleh itu, saya kagumi mantan perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad
kerana kepimpinan beliau mampu mencetus imajinasi di kalangan penduduk
Malaysia.
Saya juga gemarkan
pandangan sinis dan kritis yang sering dilontarkan Doktor M walaupun
kadang-kala, ada yang agak keterlaluan.
Tidak menghairankan, Anwar yang dianggap anak didik Mahathir, juga
begitu mahir dalam meningkatkan daya penarik serta karismanya.
Namun, kenyataan Anwar yang bersifat “pusing u” yang kerap
dihamburnya menyebabkan saya lebih kagumi langkah terus (direct) dan
tepat yang dilakukan Mahathir.
Ketokohan Anwar bagaimanapun tak pernah padam walaupun daya tarikannya
di kalangan golongan muda hari ini telah menurun sedikit.
Beliau masih dilihat pemimpin hebat dan mampu mencetus emosi serta
memberi inspirasi tidak seperti kebanyakan ahli politik dewasa ini.
Anwar mampu menjadi pemangkin perubahan dan pada masa yang sama,
pencetus kekacauan.
Anwar persis seorang bintang “rock”, yang tahu bagaimana mahu memainkan lagu yang menjadi kegilaan para peminatnya.
Tetapi pemimpin DAP Lim Kit Siang sendiri mengakui rakyat Malaysia
telah penat dengan permainan politik. Terlalu banyak yang berlaku dalam
tempoh enam tahun kebelakangan ini.
Dan perbicaraan ini juga sarat dengan butiran teknikal yang bakal
menjadikan politik seakan suam-suam kuku bagi para pemerhati.
Bagaimanapun, langkah BN mungkin menjadikan Anwar legenda yang
mencetus satu lagi gelombang kebangkitan rakyat yang akhirnya mungkin
melanda bak tsunami -- atau paling tidak protes jalanan.
Seperti yang dicoret Datuk Abdul Kadir Jasin, BN serba salah dalam
menghadapi masalah yang dibawa Anwar ini. Bak kata pepatah “ditelan
mati anak, diluah mati bapak”.
Apapun keputusan perbicaraan Sodomi II, BN akan menjadikan Anwar lebih popular berbanding hari ini.
Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin bagaimanapun tersalah apabila
berkata semua ini tiada kena-mengena dengan integriti kerajaan BN yang
memerintah.
Benar Anwar dituduh
melakukan kesalahan peribadi, tetapi rakyat juga menilai cara kerajaan
menangani isu ini dan berpendapat, ia melakukan pelbagai kesilapan.
Yang bersalah perlu dibuktikan bersalah di dalam mahkamah yang adil, dan penuduh dibebani tanggungjawab ini.
Pihak pendakwaraya yang mewakili kerajaan BN telah mendapatkan
khidmat penguam berpengaruh yang juga rapat dengan pemimpin kerajaan.
Perbicaraan Anwar sewajarnya dilihat adil dan saksama.
Perdana Menteri kita pernah berkata kepada sekumpulan penjawat awam
bahawa Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) dimansuhkan kerana ia
membunuh kareer politik pihak lawan.
Jika ISA digunakan sebegitu, apa lagi langkah yang diambil bagi menyekat pengaruh tokoh-tokoh pembangkang?
Mungkin kenyataan Najib berupa telahan kerana Anwar Ibrahim bukan
sekadar dibicarakan, namun dilihat dianiaya seperti juga Nelson
Mandela.
Tindakan BN bagaimanapun mungkin hanya akan menaikkan namanya dan menjadikan Anwar Ibrahim popular kembali.
(Rayuan Anwar di Mahkamah Persekutuan Putrajaya dijangka mengambil tempoh seminggu).
Tiada ulasan:
Catat Ulasan