HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

IGP: Siasatan kes Zahid hampir selesai

MALAYSIAKINI


 


Siasatan terhadap Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Zahid Hamidi susulan laporan DAP Perak yang menuduhnya menghasut sedang dibincangkan dengan peguam negara, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar.

Khalid berkata, rententan perbincangan mengenai kes siasatan yang sedang berlangsung, seperti kes melibatkan menteri dalam negeri itu, adalah perkara biasa.

"Kita sedang bincangkan dengan pihak peguam negara. Siasatan hampir selesai.

"Dalam proses siasatan itu kita sentiasa berbincang dengan peguam negara dan meneruskan siasatan kita pada masa yang sama," katanya dalam sidang media di Cheras, hari ini.

Khalid pada 15 Oktober lalu menyatakan bahawa polis sudah selesai merakam kenyataan Zahid susulan laporan polis oleh DAP Perak.

Laporan polis itu mendakwa Zahid membuat kenyataan menghasut ketika menyampaikan satu ucapan semasa kempen pilihan raya kecil DUN Pengkalan Kubor.

DAP mendakwa Zahid dalam ceramahnya menuduh penyokong DAP membaling batu ke arah kereta beliau dan kereta Raja Muda Perak sewaktu krisis peralihan kuasa di Perak pada tahun 2009.

Tiada ulasan: