MALAYSIAKINI
Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengambil tindakan terhadap mana-mana
pihak, termasuk anggota pihak berkuasa tempatan, yang bertindak
menjalankan tanggungjawab mengawal keadaan trafik tanpa kebenaran dan
kehadiran polis trafik.
Ketua Trafik Pasukan Bukit Aman, Datuk Mohd Fuad Abdul Latiff berkata
tindakan undang-undang akan diambil sekiranya mereka (individu dan
jabatan) melakukan penugasan marshal di jalan raya tanpa kehadiran
anggota polis trafik.
Pihaknya memandang serius terhadap tindakan individu atau badan-badan
tertentu yang kini bertindak menjadi pengiring (marshal) dalam konvoi
kenderaan tanpa kebenaran daripada PDRM, katanya dalam sidang berita di
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman semalam.
"Mereka boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 21 (2)
Akta Polis 1967, sekiranya didapati melakukan perbuatan itu.
"Hanya polis sahaja dibenarkan dan mempunyai kuasa untuk menahan atau
melencong kenderaan pengguna jalan raya yang lain," katanya.
Beliau berkata tugas marshal banyak dilakukan oleh polis trafik dalam
kebanyakan acara seperti mengiringi ketua negara, perdana menteri,
menteri dan apa jua acara yang melibatkan polis untuk mengawal lalu
lintas.
Pihaknya telah menghantar surat kepada agensi-agensi yang berkaitan
supaya memberhentikan penugasan escort yang menyalahi undang-undang,
katanya.
Sementara itu, mengikut laporan statistik suku tahun ketiga kemalangan
jalan raya bagi tempoh sembilan bulan tahun ini, Mohd Fuad berkata,
sebanyak 357,292 kes kemalangan jalan raya yang dilaporkan, mengalami
penurunan sebanyak 0.8 peratus berbanding 360,311 kes dalam tempoh yang
sama tahun lepas.
Beliau berkata jumlah kematian juga menurun sepanjang Januari hingga
September tahun ini sebanyak 4.1 peratus dari sejumlah 5,138 kematian
akibat kemalangan jalan raya, berbanding 5,357 pada tahun lepas.
"Secara purata, kemalangan berlaku pada kadar 1,308 kes sehari... negara
kehilangan hampir 19 nyawa akibat kemalangan maut setiap hari di
seluruh negara," katanya.
Penunggang motosikal terus mencatatkan kadar kematian yang tinggi akibat
kemalangan sebanyak 3,223 orang atau 62.7 peratus sepanjang tempoh
sembilan bulan tahun ini, diikuti kereta 963 orang dan pejalan kaki 393
orang.
Beliau berkata tiga negeri yang tertinggi yang menyumbang 55.9 peratus
kepada keseluruhan jumlah kemalangan berlaku ialah Selangor, Johor dan
Kuala Lumpur manakala Perlis pula mencatat kadar kemalangan paling
rendah.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan