HALAMAN SANTAI

Selasa, 28 Oktober 2014

Anwar gesa mahasiswa terus agresif tuntut keadilan sekalipun beliau dipenjara lagi

Oleh Shuhainiza Said
Post Pic
 
 
BANGSAR: Bertempat di Dataran Tunku Canselor (DTC) Universiti Malaya (UM), Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggunakan medan pidato yang dikhususkan kepadanya oleh mahasiswa dengan menyampaikan amanat agar golongan muda meneruskan perjuangan menuntut keadilan, sekalipun beliau dipenjarakan.
 
Diiringi isteri yang juga Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan anaknya, Naib Presiden PKR, Nurul Izzah, Anwar berkata, penindasan terhadap beliaulah yang menyebabkan golongan anak muda akan bangkit untuk menuntut keadilan.
 
"Ramai anak-anak seperti Fahmi (zainol - Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Malaya) yang akan bangkit dan buktikan kepimpinan yang jauh lebih baik bagi negara kita," ujarnya di hadapan kira-kira 2,000 peserta himpunan yang majoritinya adalah mahasiswa.
 
Anwar dalam pada itu turut mempersoalkan sekatan terhadapnya untuk berucap di kampus berkenaan, dan menyifatkan ia adalah tindakan pihak tertentu yang didorong rasa takut melihat kebangkitan golongan muda yang menyokong beliau.
 
"Saya dihina, dikecam 16 tahun, apa salahnya saya datang 20 minit untuk mempertahankan diri saya," ujarnya lagi.
 
                                                                                      
 
Di medan pidato tersebut, Ketua Umum PKR itu merakamkan penghargaan atas keberanian mahasiswa, selain mengangkat Presiden Persatuan Mahasiswa UM, Fahmi Zainol sebagai pejuang bangsa dan negara.
 
Beliau dalam pada itu menyatakan kesanggupan menghadapi rintangan sekalipun boleh memilih untuk tidak melaluinya.
 
"Saya boleh pilih untuk keluar.. Apa pula nasib anak-anak saya.. Saya tak mahu anak-anak rasa kecewa dengan perjuangan ini.
 
"Andai kata saya tumbang, anak-anak akan tahu Anwar pilih utk kembali dan hadapi rintangan. Supaya anak cakap kalau Anwar boleh buat begitu, kami juga boleh buat begitu," katanya lagi.
 
                                                                                        
 
Dalam masa yang sama, Anwar turut menaruh harapan agar keputusan kes liwatnya esok akan diadili dengan sebaik mungkin.
 
"Tiada sebab untuk saya dihukum..Saya masih letakkan harapan.. Saya wajib dibebaskan," katanya.
 
Beberapa jam dari sekarang, nasib Anwar akan ditentukan Mahkamah Persekutuan samada beliau dibebaskan atau dipenjarakan sekali lagi ata tuduhan meliwat bekas pembantu khasnya, Saiful Bukhari Azlan, enam tahun lalu.
 
Mahkamah Rayuan sebelum itu mensabitkan kesalahan ke atas Anwar.

Tiada ulasan: