HALAMAN SANTAI

Khamis, 30 Oktober 2014

Tangguh dakwaan kes Akta Hasutan, tunggu akta baru

ANIS NAZRI


KUALA LUMPUR: PAS meminta kerajaan menangguhkan semua pendakwaan berkaitan Akta Hasutan sehingga akta baharu digubal bersesuaian dengan janji Perdana Menteri untuk memansuhkan akta itu.

Ahli Parlimen Kuala Krai, Dr Mohd Hatta Md. Ramli, berkata penangguhan tersebut perlu bagi menunjukkan Malaysia benar-benar menghormati kebebasan rakyat untuk bersuara sebagaimana yang tertakluk di bawah perlembagaan.

"Pandangan dunia terhadap Malaysia dengan duduknya Malaysia dalam Majlis Keselamatan PBB adalah satu penghormatan. Dan kita sebagai negara yang dianggap majuseharusnya memberikan gambaran yang baik bahawa kebebasan bersuara, hak asasi manusia diberikan kepada rakyat," kata beliau ketika mengambil bahagian dalam perbahasan Bajet 2015, di Dewan Rakyat, hari ini.

Tambah beliau, pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini yang menjanjikan untuk memansuhkan akta itu sangat menarik dan mendapat sokongan serta sambutan daripada rakyat.

Pada 11 Julai 2012, Najib mengumumkan Akta Hasutan 1948 akan dimansuhkan dan digantikan dengan akta baharu yang dikenali sebagai Akta Keharmonian Nasional.

"Dengan adanya akta baharu ini, kita akan lebih bersedia untuk menguruskan tahap kesilapan negara. Ia juga akan membantu mengukuhkan dan melindungi perpaduan negara serta memupuk keharmonian agama," katanya pada majlis makan malam Jabatan Peguam Negara bersama Perdana Menteri di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Namun, kata Dr Hatta belum pun Akta Keharmonian Nasional yang dikatakan bakal menggantikan akta drakonian digubal, semakin banyak pula kes-kes yang digunakan di bawah Akta Hasutan.

"Ini memberikan gambaran bahawa terdapat tekanan terhadap rakyat di negara ini melalui akta ini.

"Justeru, saya mencadangkan semua pendakwaan dihentikan kalau pun tidak ditarik, sementara menunggu rayuan terhadap kes tersebut dan sementara menunggu kelulusan akta yang baru yang telah dijanjikan Perdana Menteri," katanya yang juga Ketua Pengarah Pilihan raya PAS. - HARAKAHDAILY

Tiada ulasan: