HALAMAN SANTAI

Khamis, 2 Oktober 2014

Kenaikan harga petrol adalah demi keuntungan berganda GST



Oleh Edy Noor Reduan


Tindakan kerajaan menaikan harga bahan api sebanyak 20sen bermula tengah malam tadi bakal menyebabkan kehidupan rakyat lebih sengsara. Kenaikan ini juga mendorong kesan berantai kenaikkan harga barang dan kos sara hidup yang tidak mungkin mampu dikawal. Ini adalah satu rompakan terbuka kerajaan Malaysia terhadap rakyatnya.

Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) dengan ini menggesa rakyat seluruh negara khususnya anak muda agar menunjukkan protes secara ampuh. Kerajaan hari ini sekali lagi mencabar kesabaran rakyat dan kita tidak harus berdiam diri kerana kesulitan lebih besar menanti di hadapan.

SAMM sudah menjangka kenaikan harga petrol dan diesel ini. Ia adalah persediaan kerajaan untuk mengaut untung yang lebih besar dengan perlaksanaan GST. Malah harga komoditi petrol itu sendiri akan meningkat lebih 15sen seliter dari RM2.30 menjadi RM2.45 selepas GST dilancar (1 April 2015).


Ketika ini juga harga petrol dunia menurun sebanyak lebih 25% sejak Mac 2014. Banyak negara termasuklah India dan United Kingdom mengambil langkah menurunkan harga petrol. Tiada alasan untuk harga minyak tempatan dinaikkan.

Namun di Malaysia, kerajaan sengaja membiarkan harga barangan melambung. Sifirnya, lebih tinggi harga barang/perkhidmatan maka lebih tinggi cukai GST yang dikutip. Lebih tinggi perbelanjaan isi rumah akibat dari kenaikan harga bahan api, lebih banyak GST masuk kantung kerajaan.

Masihkah kita ingat bagaimana seorang perdana menteri merayu supaya diberikan peluang untuk memerintah sepenggal lagi? Masihkah kita ingat janjinya untuk tidak menaikkan harga bahan api walaupun harga minyak dunia melambung? Malangnya, walaupun ketika harga minyak global menurun, kerajaan menaikkan harga minyak domestik sebanyak 40 sen semenjak kekal memerintah lepas PRU13.

Justeru itu, SAMM bermula dari malam tadi melancarkan flashmob di beberapa lokasi dan akan terus menyusun lebih banyak flashmob di seluruh negara. Satu perhimpunan besar-besaran membantah kenaikan harga petrol "demi GST" akan menggegar tanahair. Anak muda harus bersedia dan menyambut gerakan murni ini.

* Penulis ialah Pengarah Propaganda.
* Beliau juga adalah Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM).

Tiada ulasan: