suhaizan-kaiat
 
 

PUTRAJAYA - [VIDEO]  "Perhatian jentera Pas tertumpu kepada perbicaraan kes saman melibatkan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang di Terengganu, semalam," demikian ujar Ketua Pemuda Pas, Suhaizan Kaiat.

Jelas Suhaizan, pertembungan tarikh perbicaraan kes mahkamah antara Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Abdul Hadi menyebabkan penyokong Pas memilih untuk ke Terengganu bagi memberi sokongan kepada Abdul Hadi.

"Ada ahli Pas yang ke Terengganu semalam. Saya sendiri ke sana untuk hadiri kes Abdul Hadi.

"Tetapi hari ini kami hadir beramai-ramai bagi menunjukkan sokongan kami terhadap beliau (Anwar)," katanya kepada Sinar Harian Online, di sini, hari ini.

[ARTIKEL BERKAITAN: Himpunan sokong Anwar hambar tanpa penyokong Pas]

Semalam, Sinar Harian melaporkan himpunan sokong Anwar di Putrajaya kurang sambutan kerana hanya dihadiri segelintir penyokong Pas dan beberapa pemimpin Pas seperti Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad dan Ketua ​Pengarah Pilihanraya Pas Pusat, Dr Hatta Ramli.

Ia menyebabkan himpunan sokong Anwar di pekarangan Istana Kehakiman semalam 'hambar' tanpa kehadiran penyokong Pas.