KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) semalam mengenal pasti 9
pelajarnya menghadiri perhimpunan sempena pidato Ketua Pembangkang,
Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan pada 27 Oktober lepas di Dataran
Dewan Tunku Canselor.
Ketua Unit Media dan Korporat UM Izzad Zalman Abd Kader berkata, antara
sembilan pelajar itu termasuk Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti
Malaya, Fahmi Zainol.
Menurutnya, UM mengenal pasti Fahmi di dalam perhimpunan itu dan dia
berada di barisan hadapan berdasarkan rakaman kamera litar tertutup
(CCTV).
"Fahmi merupakan pelajar tahun akhir daripada Fakulti Sastera dan Sains
Sosial, dia bersama lapan mahasiswa yang lain akan dibawa ke Lembaga
Tatatertib dalam masa terdekat berdasarkan Akta Universiti dan Kolej
Universiti 1971 serta mengikut Perlembagaan Universiti," katanya.
Jelasnya, jumlah sebenar bilangan pelajar UM yang didapati terlibat
belum dapat dipastikan namun rakaman CCTV itu telah dikongsi bersama
institusi pengajian lain untuk proses pengecaman.
"Pelajar UM yang dikenal pasti akan disiasat oleh UM sendiri manakala selebihnya oleh institusi terlibat," katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Muhammad Azlee
Abdullah berkata mereka yang terlibat dalam perhimpunan itu kini sedang
dikenal pasti berdasarkan bukti rakaman CCTV serta video.
Dalam insiden 27 Oktober lepas, kira-kira 300 belia termasuk beberapa
pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) merempuh masuk pintu pagar UM
pada 9.20 malam untuk acara pidato Anwar yang dijadualkan berlangsung di
Dataran Dewan Tunku Canselor.
Program itu tidak mendapat kebenaran UM dan pihak keselamatan universiti itu mengunci pintu pagar utama universiti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan